Proses rundingan pembahagian kerusi penting untuk jayakan pakatan dalam PRN – Salleh

KOTA KINABALU: Pembahagian kerusi dalam pakatan pilihan raya merupakan satu proses rundingan yang memerlukan keseimbangan antara kepentingan parti dan matlamat bersama untuk memenangi pilihan raya.

Sehubungan itu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggariskan beberapa prinsip utama yang digunakan dalam menjayakan proses itu.

Katanya ini termasuk faktor kebolehmenangan dan kekuatan jentera parti.

“Kerusi diberikan kepada parti yang mempunyai peluang terbaik untuk menang berdasarkan prestasi pilihan raya terdahulu, kekuatan jentera parti, serta hasil tinjauan dan kajian sikap pengundi,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata turut diambil kira dalam pembahagian kerusi ialah penyandang dan hak sejarah.

“Jika sesebuah parti pernah memenangi kerusi tersebut dan masih mempunyai sokongan kuat, mereka diberi keutamaan.

“Namun, jika penyandang telah bertukar parti atau mengalami kemerosotan sokongan, kerusi boleh dipertimbangkan semula,” katanya.

Katanya faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah kestabilan dan keseimbangan pakatan.

“Pembahagian kerusi harus mengambil kira kepentingan semua rakan sekutu dalam pakatan bagi memastikan keseimbangan dan kestabilan politik serta mengelakkan ketegangan dalaman,” katanya.

Salleh yang juga bendahari UMNO berkata pembahagian kerusi juga wajar diurus dengan baik bagi mengelakksn perpecahan undi.

“Setiap kerusi hanya boleh ditandingi oleh satu calon dari pakatan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata proses pembahagian kerusi perlu dibuat melalui rundingan dan kompromi selain mengambil kira kualiti dan penerimaan calon.

Salleh berpendapat persetujuan di peringkat persekutuan dan negeri wajar diberi perhatian dalam proses rundingan kerusi.

“Mekanisme khas juga perlu diwujudkan untuk menangani sebarang pertikaian berkaitan pembahagian kerusi, sama ada melalui jawatankuasa khas atau campur tangan kepimpinan tertinggi pakatan,” katanya.

Menurutnya rundingan pembahagian kerusi merupakan aspek penting dalam memastikan kejayaan pakatan dalam pilihan raya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles