KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta perlu mengatasi segera masalah ketiadaan bekalan air bersih yang dialami penduduk terjejas banjir melibatkan kawasan daerah Keningau, Tenom, Beaufort dan Membakut,
Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, sehingga kini penduduk terjejas banjir hanya bergantung sepenuhnya kepada pembelian bekalan air mineral di kedai berhampiran bagi menampung kegunaan seharian mereka.
Katanya, ketika ini bekalan penjualan air mineral didapati tidak mencukupi untuk menampung jumlah permintaan penduduk terjejas banjir sekali gus dikenal pasti sangat membebankan pengguna.
“Masalah air kekurangan bekalan air bersih ini sudah berlarutan selama seminggu…Tolonglah…..penduduk di kawasan terjejas banjir sangat memerlukan bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.
“Sehingga kini walaupun mangsa banjir semakin berkurangan kepada 2,655 membabitkan di tiga daerah yang terjejas, namun keperluan untuk mendapatkan air bersih sangat diperlukan setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awang Aslee merupakan Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, beliau mengesahkan setakat ini daerah Keningau dilaporkan sangat kritikal menghadapi ketiadaan bekalan air bersih.
“Penduduk tiada pilihan lain terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air mineral menyebabkan penduduk terpaksa berbaris Panjang untuk mendapatkan ini.
“Bekalan penghantaran bekalan air mineral di Keningau tidak mencukupi berikutan penduduk berpusu-pusu membeli, bagi menampung keperluan seharian mereka,” jelas Awang Aslee.
Menurutnya, keadaan ini kemungkinan besar akan berlarutan jika tiada tindakan segera diambil oleh JANS untuk mengatasi masalah ketiadaan air bersih ini dalam tempoh terdekat.
“Tolonglah faham kerana ketika ini musim bulan Ramadan keperluan untuk mendapatkan bekalan air bersih sangat penting sekali gus mampu mengurangkan beban dihadapi mereka,” katanya.
Sementara itu ketika mengulas keadaan banjir di sekitar kawasan Beaufort, Awang Aslee berkata, situasi banjir beransur surut sedikit namun masih terdapat banyak rumah masih lagi terjejas akibat banjir.
“UMNO Bahagian Beaufort bersama Ahli Parlimen Beafort, Datuk Siti Aminah Aching sedang menyalurkan bakul makanan kepada mangsa sambil melawat mereka yang terjejas banjir.
“Rumah Ahli Parlimen Beaufort sendiri pun turut dilanda banjir…Kita melihat komitmen Siti Aminah sangat tinggi dalam menyantuni mangsa banjir walaupun pada bulan Ramadan ini,” kata Awang Aslee.
Menurutnya, selain dari itu Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort juga ada menyalurkan bantuan air mineral kepada rumah yang terjejas banjir serta di kawasan Pusat Pemindahan Sementara di kawasan Beaufort.