PUTATAN: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah telah menganjurkan Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025, dengan Putatan sebagai destinasi ke-6 program ini petang tadi.
Seramai 50 kanak-kanak dari Putatan telah dibawa membeli pakaian Raya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli baju dan kasut raya.
Program Shopping Raya pada petang ini disempurnakan oleh isteri Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi.
Semasa ditemui pemberita, Datin Dayang Siti Noor Hayyat mengucapkan terima kasih kepada KTC kerana berjaya menganjurkan aktiviti shopping raya bersama kanak-kanak terpilih.
Beliau berkata, usahawan ternama ini menjadi contoh kepada semua pihak bahawa kebaikan tidak mengenal batas, bangsa, dan agama. Diharapkan usaha ini dapat diteruskan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, berkata program shopping raya di Servay Hypermarket Penampang adalah untuk membantu kanak-kanak yang kurang mampu di kawasan Putatan.
“Banyak cerita sedih dan sukar yang kami dengar. Saya pun dapat merasai perasaan mereka. Saya percaya UPPM telah mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan. Diharapkan mereka yang memerlukan akan mendapat sokongan,” ujar Datuk Dexter.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyumbang lebih banyak.
“Kami di sini bukan untuk agenda politik, tetapi untuk memberi kebaikan di tahun yang penuh berkat ini. Semoga semua turut berusaha untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Datuk Dexter.
Salah satu kisah yang mengharukan dalam aktiviti shopping raya ini melibatkan seorang anak yatim piatu, Norasyiqin binti Adnan, yang merupakan kakak ketiga kepada enam adik-beradik.
Norasyiqin membawa adiknya yang berumur 12 tahun, Nur Zurina binti Adnan, yang merupakan penerima shopping raya ini untuk dua tahun berturut-turut. Ibu mereka meninggal dunia tujuh tahun yang lalu, manakala bapa mereka pula meninggal dunia tiga tahun lalu. Kakak-kakak mereka kini membiayai adik-adik yang masih bersekolah.
“Terima kasih kepada KTC kerana meringankan beban keluarga kami,” kata Norasyiqin.
Turut hadir ialah Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin, Datin Yee Tsai Siew, pemimpin masyarakat serta wakil KTC dan UPPM.