E-Sport peluang anak muda wakili Pitas ke sukan SAGA Disember ini – Harun

PITAS : Golongan belia disaran menyertai ‘Acara sukan Elektronik atau E-Sport’ selepas ia bakal dipertandingkan menjelang kejohanan Sukan Sabah (SAGA) edisi ke-10 diadakan bermula 16 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd (SOGDC), Datuk Harun Ismail berkata, sukan E-Sport ini merupakan satu industri sukan baharu di Malaysia namun ia dilihat selaras dengan perkembangan teknologi pada masa kini.

Katanya, E-Sport ini mampu menjana pendapatan lumayan selain dapat menarik lebih ramai pengemar sukan ini khususnya dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

“Sebagai contoh di daerah Pitas ini, ramai kalangan anak-anak muda dikenal pasti berpotensi serta berminat terhadap sukan ini sekali gus berpotensi untuk diketengahkan ke kejohanan peringkat yang lebih tinggi.

“Pada kejohanan hari ini, sudah tentu kita akan mampu mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk mewakili daerah Pitas pada kejohanan sukan SAGA nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan kejohanan E-Sport Peringkat daerah Pitas 2025 dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan daerah Pitas, di sini semalam.

Harun merupakan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah DUN Pitas berkata, antara objektif penganjuran sukan E-Sport adalah untuk menjadi medium bagi mempromosi sukan elektronik kepada belia negeri Sabah.

“Sukan elektronik ini dijangka dapat menyediakan platform kepada penggiat sukan untuk mengembangkan minat serta kemahiran dalam sukan E-Sport.

“Secara tidak langsung, sukan ini dapat memupuk semangat serta budaya berpasukan yang sihat dalam kalangan belia khususnya kepada penggiat sukan ini,” jelas Harun.

Menurutnya, selain itu penganjuran sukan itu dijangka dapat mencungkil bakat baharu serta mereka yang berpotensi untuk mewakili Sabah dan Malaysia pada masa depan.

“Kita ucapkan syabas kepada Jawatakuasa Penganjur E-Sport kerana dapatmenganjurkan program yang dilihat dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan belia di Pitas.

“Semoga pada kejohanan SAGA nanti wakil daerah Pitas mampu meraih pingat emas sekali gus pesertanya berjaya mewakili negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Harun.

Hadir sama, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Ariffin Matasin, Presiden Shushi Electronic Sport Club, Alpacino Alviar Mazlan serta Penyelaras Kejohanan E-Sport Pitas, Malai Saharuddin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles