PENAMPANG: Pimpinan Tertinggi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini, memutuskan tugas presiden parti itu yang ditinggalkan Datuk Peter Anthony akan digalas Timbalan Presiden, Priscella Peter.
Priscella juga akan dibantu seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM.
Setiausaha Agungnya, Willie Jude berkata, keputusan itu sebulat suara dibuat dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM yang dipengerusikan Wetrom, di ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat demi kebaikan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan, kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes Datuk Presiden.
“Ianya (keputusan) juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Datuk Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan.
“Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti dan saya yakin dengan hubungan kami yang sudah seperti satu keluarga, kami mampu hadapi setiap rintangan yang ada selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Priscella, 27, merupakan graduan dari Universiti Curtain Australia dengan kelulusan Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang perakaunan.
Willie berkata, mesyuarat hari ini juga turut memutuskan yang KDM kekal dengan pendirian sebelum ini, iaitu untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.
Katanya, segala perancangan parti termasuk yang dibuat Peter akan diteruskan.
“Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun, ini perjuangan untuk Sabah, untuk rakyat,” katanya lagi.