Perkasa strategi penglibatan wanita dalam sosial, ekonomi, politik

KOTA KINABALU: Penyertaan wanita Sabah dalam sektor ekonomi, sosial dan politik masih lagi rendah dan memerlukan strategi serta perancangan kukuh bagi meningkatkan peranan golongan tersebut.

Advertisements

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2024 menunjukkan penyertaan wanita dalam jawatan pengurusan meningkat kepada 25.4 peratus pada tahun 2023, berbanding 23.8 peratus pada tahun sebelum ini.

Berbanding di Sabah katanya, hanya 28 peratus jawatan Ahli Lembaga Pengarah dan CEO dalam syarikat GLC dipegang oleh wanita sekali gus memerlukan usaha yang lebih berstruktur dan terancang.

“Sebaliknya, 69.3 peratus daripada pemilik perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah wanita, menunjukkan dominasi wanita dalam sektor keusahawanan, namun masih terdapat pertindihan dalam pendaftaran usahawan wanita di bawah pelbagai agensi, yang menunjukkan keperluan untuk pangkalan data yang lebih sistematik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan wanita secara lebih strategik.

“Meskipun statistik ini menunjukkan kemajuan, angka tersebut masih belum mencerminkan potensi sebenar wanita dalam kepimpinan sektor korporat dan ekonomi,” katanya semasa berucap pada program Perbincangan Meja Bulat Mengenai Penglibatan Wanita di Peringkat Pengurusan Syarikat GLC dan Pemilikan Dalam Sektor Swasta di sini pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Bahagian Ekonomi Akar Umbi IDS, Masmidah Arsah wakil CEO Dr Ramzah Dambul dan ahli-ahli jawatankuasa Meja Bulat.

Azizah berkata, bagi memastikan perubahan yang lebih bermakna, usaha pemerkasaan wanita tidak boleh bergantung kepada inisiatif dalam sektor individu atau syarikat semata-mata tetapi komitmen yang berterusan di peringkat dasar dan polisi kerajaan.

Katanya, ia termasuk mewujudkan ekosistem yang lebih menyokong penyertaan wanita dalam kepimpinan.

“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuhkan kedudukan wanita sebagai pemimpin dalam sektor korporat dan profesional. Dalam Belanjawan 2025, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi memperluaskan peluang wanita dalam sektor ini, termasuklah Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS)  yang bertujuan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam dunia korporat.

“Selain itu, inisiatif ‘Returnship’ juga diperkenalkan untuk membantu wanita yang ingin kembali ke dunia pekerjaan selepas berehat untuk menguruskan keluarga atau komitmen lain,” ujar beliau.

Tambah beliau, beberapa strategi turut memerlukan komitmen daripada semua pihak khususnya pucuk pimpinan kerajaan seperti mengukuhkan dasar dan polisi bagi memastikan lebih ramai wanita dapat memegang jawatan strategik dalam syarikat GLC dan swasta.

Malah katanya, semua pihak perlu menyediakan lebih banyak program latihan dan mentorship yang membolehkan wanita membina kemahiran kepimpinan yang lebih kukuh.

“Begitu juga usaha mewujudkan polisi kerja fleksibel bagi menyokong keseimbangan antara kerjaya dan keluarga, bagi membolehkan wanita kekal produktif dalam pasaran kerja.

“Ia termasuk juga menggalakkan kesaksamaan gender dalam sektor korporat, termasuk memberi insentif kepada syarikat yang mengamalkan kepelbagaian dalam kepimpinan mereka,” katanya.

Azizah menegaskan bahawa perubahan yang dihasratkan itu  tidak mungkin berlaku dalam sehari, tetapi melalui usaha yang berterusan matlamat meningkatkan penyertaan wanita dalam sosial, politik dan ekonomi akan memperlihatkan hasilnya suatu hari nanti.

“Dengan mengambil inspirasi daripada inisiatif kerajaan dan suara pemimpin-pemimpin wanita, kita boleh mempercepatkan usaha untuk memastikan wanita mendapat tempat sewajarnya dalam kepimpinan kelak,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles