KOTA KINABALU: Persatuan Permotoran Borneo Sabah (PERMOS) tampil menjelaskan bahawa program permotoran anjuran Car Culture (CULT) yang diadakan di tempat letak kereta di Fog Sang, di sini, tidak terlibat dalam aktiviti melanggar undang-undang.
Presidennya, Datuk Mohd Fadil Fathullah berkata, dakwaan penganjuran program tersebut mencetuskan huru hara adalah tidak seperti yang digambarkan.
“Mengulas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang berkenaan program tersebut baru-baru ini adalah acara santai ramah mesra antara semua ahli-ahli kelab permotoran di kawasan tersebut.
“Tidak ada sebarang aktiviti yang melanggar undang undang termasuk penggunaan tapak parkir tersebut telah mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan juga permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya program dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berpendapat bahawa ia bukan sebagai faktor untuk pihak tertentu mengeluarkan kenyataan tanpa menyelidik terlebih dahulu.
“Acara yang dianjurkan adalah acara rasmi dan mengikut segala undang undang dalam permohonan tersebut sebelum acara itu diteruskan.
“Saya akan menyelidik perkara ini dengan teliti sebelum tindakan diambil di mana semua ahli persatuan saya juga sedia maklum bahawa mereka boleh diambil tindakan jika terdapat sebarang kesalahan atau aktiviti yang melanggar undang undang,” tegasnya.
Tambah Mohd Fadil lagi, program yang dijalankan oleh persatuan itu mendapat sambutan yang mengalakkan daripada golongan anak muda yang gemar dengan aktiviti permotoran
“Aktiviti ini dianjurkan bagi peminat sukan permotoran supaya mereka mengambil langkah bersukan secara sihat dan sudah tentu ini memberi kesan positif kepada masyarakat.
“Malah, menerusi program ini juga peserta menerima maklumat dalam perundangan jalan raya dan sekali gus menolak pandangan negatif daripada umum mengenai sukan permotoran ini,” katanya.