Komentar oleh Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun
KOTA KINABALU: Kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat hampir pasti bagi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus.
Keyakinan pelabur semakin melonjak sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 pada tahun 2021 yang merupakan cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Pelan hala tuju ini berjaya meningkatkan prestasi ekonomi negeri yang merosot akibat pandemik Covid-19. Sejak 2021, hanya dalam tempoh dua tahun hasil negeri mencecah RM12.409 bilion.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia Kelapan (ESTCON) pada tahun lalu menyatakan bahawa hasil Sabah pada 2023 sebanyak RM7 bilion. Ia telah meletakkan Sabah antara enam negeri teratas yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun berkenaan.
Hajiji turut mendedahkan bahawa angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2023.
Selain daripada pencapaian ekonomi yang membanggakan, isu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu seperti isu bekalan air dan elektrik juga sedang ditangani melalui langkah penyelesaian jangka panjang.
Projek Hidroelektrik Ulu Padas 187.5MW di Tenom yang dijadualkan siap pada hujung 2030 antara inisiatif utama yang dilaksanakan untuk memastikan masalah ini tidak lagi berulang.
Pelan Hala Tuju SMJ bukan sekadar retorik, tetapi satu realiti. Buktinya, pembukaan kilang kaca Kibing bernilai berbilion ringgit dua tahun lalu telah membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
Kilang ini menawarkan tenaga kerja yang ramai dan lebih 80 peratus daripada 1,300 pekerjanya adalah anak tempatan Sabah.
Ketua Menteri sedar bahawa kestabilan politik adalah kunci utama bagi Sabah untuk terus maju kerana pertumbuhan dan kestabilan ekonomi saling berkait rapat. Apabila ekonomi kukuh dan stabil, rakyat akan memiliki sumber yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Atas kejayaan yang dicapai, pengkritik daripada pembangkang khususnya Warisan, tidak dapat menyembunyikan rasa iri hati terhadap kejayaan kerajaan GRS. Pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju jelas tentang masa depan Sabah kini berada di landasan menuju kekalahan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Kerajaan gabungan sedia ada mungkin tidak sempurna, tetapi hakikatnya rekod pencapaian GRS-PH tiada tandingan. Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, barisan pemimpin kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh komitmen dan dedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat.
Hari ini, Sabah berdiri megah dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan. Pelbagai program kerajaan telah dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan ia mendapat sokongan majoriti rakyat.
Sungguh berbeza dengan usaha menggulingkan kerajaan sebelum ini yang hanya mencetuskan ketidakstabilan politik dan mengejutkan rakyat.
Pada pandangan saya, pembangkang akan terus membuat lebih banyak cubaan kerana mereka kini berdepan dengan ketidakpastian dan mungkin juga kurang keyakinan diri.
Rakyat mahukan kestabilan serta sebuah kerajaan yang mempunyai pendekatan pelbagai kaum dan mesra rakyat dalam urusan pentadbiran.
Keadaan politik dan ekonomi yang stabil ketika ini telah mendapat sokongan pengundi serta meletakkan gabungan GRS-PH Plus dalam kedudukan yang kukuh untuk terus mendapat kepercayaan rakyat bagi mentadbir Sabah sekali lagi selepas PRN17.