Ewon lancarkan SME Venture @ ASEAN 2025, Peluang PKS Malaysia Tembusi Pasaran Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, melancarkan SME Venture @ ASEAN 2025, satu inisiatif strategik untuk membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau ASEAN.

Advertisements

Beliau berkata, dengan jumlah populasi melebihi 600 juta orang di rantau ASEAN, pastinya akan memberi peluang dan landasan terbaik kepada PKS Malaysia meluaskan pasaran.

“Inisiatif yang dianjurkan oleh agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) iaitu SME Corp Malaysia akan memberi peluang kepada usahawan PKS negara menembusi pasaran antarabangsa di mana lebih 200 sesi padanan perniagaan akan diadakan, juga penyertaan syarikat-syarikat besar dan pembeli daripada negara-negara seperti Turkiye, Jepun, Arab Saudi, Oman, Georgia dan Kazakhstan.

“Bengkel mengenai Free Trade Agreements (FTAs), forum mengenai Environment, Social and Governance (ESG) dan pocket talks juga akan turut diadakan,” katanya ketika berucap pada pra pelancaran SME Venture@ASEAN 2025, di Renaissance, di sini, hari ini.

SME Venture @ ASEAN 2025 akan berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober ini, di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Ewon menggalakan PKS negara mengambil bahagian dalam program itu dan menghubungi SME Corp untuk proses penyertaan.

“Semoga inisiatif ini dapat memacu daya saing, inovasi, kemampanan, keterangkuman dan kejayaan usahawan-usahawan PKS negara kita.

“Kami mahu melihat lebih banyak PKS Malaysia berkembang secara global melalui inovasi, digitalisasi, dan strategi perdagangan antarabangsa. Dengan akses kepada rangkaian FTA, RCEP dan CPTPP, PKS Malaysia berpeluang menikmati insentif menarik dan memperluaskan pasaran mereka di luar ASEAN,” katanya.

Beliau berharap SME Venture @ASEAN 2025 akan menjadi platform utama untuk menyediakan peluang eksport kepada PKS Malaysia, dengan aktiviti utama termasuk, pameran Produk & Perkhidmatan PKS, sesi padanan perniagaan melibatkan penyertaan syarikat dari negara ASEAN serta pembeli utama dari Türkiye, Jepun, Arab Saudi, Oman, Georgia dan Kazakhstan.

Ewon berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kerana ia merangkumi hampir 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, menyumbang 39.1 peratus kepada KDNK negara, 12.2 peratus kepada jumlah eksport dan 48.5 peratus kepada tenaga kerja negara.

“Perkembangan sektor ini juga amat menggalakkan dengan jumlah perniagaan meningkat daripada 907,065 syarikat pada 2015 kepada 1.1 juta pada 2023, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 2.5 peratus.

“Tumpuan kita adalah untuk meningkatkan jumlah perusahaan sederhana daripada 1.8% pada 2023 kepada 5 peratus menjelang 2030 dengan menggalakkan lebih banyak PKS menerokai pasaran antarabangsa,” katanya.

Ewon berkata, sejajar dengan sumbangan besar PMKS kepada ekonomi negara, Kerajaan Madani dalam Bajet 2025 telah memperuntukkan RM40 bilion untuk pembangunan PMKS.

“Daripada jumlah itu RM810 juta khusus untuk membantu PMKS menembusi pasaran eksport melalui EXIM Bank dan MATRADE,” katanya.

Pada majlis pelancaran itu, Ewon turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara SME Corp. Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Program Pemecut Eksport (EAP).

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Zamri Salleh dan Puan Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles