PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, hari ini, melancarkan Live Hub TikTok Shop X TEKUN yang pertama di Malaysia, bertempat di Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang.
Beliau berkata, inisiatif Kerajaan MADANI melalui agensi Tekun Nasional di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu pastinya akan memberi manfaat besar kepada para usahawan mikro, khususnya di negeri ini.
“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan, terutamanya kepada usahawan-usahawan TEKUN yang berjaya memanfaatkan platform digital, khususnya TikTok Shop, dalam meningkatkan jualan dan memperluaskan pasaran produk mereka.
“Perkembangan teknologi digital sangat pesat dan penggunaan media sosial seperti TikTok semakin popular dan menjadi platform pilihan dalam aktiviti perniagaan.
“Dengan kemudahan yang disediakan, para usahawan dapat memanfaatkan teknologi untuk mendekati pelanggan secara lebih interaktif, menjadikan perniagaan mereka lebih dinamik dan relevan dengan kehendak pasaran masa kini.
“Tahniah kepada semua usahawan TEKUN yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam memanfaatkan TikTok Shop sebagai saluran jualan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Live Hub TikTok Shop X TEKUN yang pertama di Malaysia, di Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang, hari ini.
Ewon berkata sebelum fasa percubaan TikTok Shop Live Hub di Penampang, TikTok telah bekerjasama dengan TEKUN Nasional untuk melatih hampir 30 usahawan Sabah pada Januari 2025 dan 2 siri yang akan datang akan diadakan pada 25 sehingga 27 Februari ini.
“Latihan TikTok Shop bagi usahawan Sabah dari Disember 2024 sehingga Januari 2025 telah meningkatkan jualan produk buatan Sabah sebanyak lapan kali ganda di platform TikTok Shop Malaysia,” katanya.
Beliau berharap, kejayaan usahawan-usahawan TEKUN itu dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada usahawan lain untuk meraih kejayaan yang sama.
“Antara usahawan TEKUN yang berjaya meningkatkan jualan selepas mengikuti bimbingan TEKUN bersama TikTok Shop ialah, Encik Ahmad Hishamuddin Ahmad Khairuddin dari Kuala Langat Selangor.
“Sebelum beliau mengikuti program bimbingan TEKUN bersama TikTok Shop jumlah jualan beliau hanya RM70 ribu sebulan, bagaimanapun kini beliau berjaya meraih jumlah jualan tertinggi sebanyak RM463 ribu dalam tempoh tiga bulan dengan menjalankan perniagaan audio, buku dan majalah.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan menunjukkan potensi besar platform TikTok Shop dalam membantu usahawan kecil dan sederhana berkembang di pasaran yang lebih luas,” katanya.
Selain itu katanya, melalui penganjuran Karnival TEKUN Madani yang dilaksanakan di beberapa lokasi sebelum ini turut membuktikan keberkesanan platform TikTok Shop.
“Jualan melalui platform TikTok Shop dalam Karnival TEKUN Madani di Kuala Penyu, Pulau Pinang, Kuala Langat dan Hulu Langat, secara keseluruhannya berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM5.3 juta.
“Ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul dan kerjasama yang erat antara TEKUN dan platform digital seperti TikTok Shop, para usahawan lebih berdaya saing dan berjaya dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif,” katanya.
Ewon berkata, berikutan impak positif yang dihasilkan daripada penganjuran program terdahulu, kedua-dua pihak bersetuju mewujudkan kolaborasi strategik yang lebih menyeluruh dalam usaha membantu usahawan TEKUN.
“Skop kerjasama yang dipersetujui adalah Operasi Live Hub, Operasi Pusat Latihan, Bengkel Asas & Berbayar, Karnival TEKUN Madani dan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT),” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini 12 studio dirancang untuk dibangunkan di enam negeri iaitu Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Sarawak.
“Operasi Live Hub ini melibatkan penyediaan fasiliti penstriman langsung lengkap, bukan sahaja akan memberi peluang kepada usahawan IKS untuk menjual produk mereka dalam platform yang popular, tetapi juga meningkatkan visibiliti dan daya saing mereka dalam pasaran yang lebih luas.
“Faktor utama yang akan difokuskan adalah untuk meningkatkan kadar tontonan semasa LIVE dan kadar kemasukan penonton dari FYF melalui konten LIVE yang berkualiti.
“Sejak 31 Januari sehingga 11 Februari 2025, 29 sesi jualan LIVE telah berlangsung, iaitu selama 58 jam yang menghasilkan 760,000 LIVE views dan lebih 200 produk Sabah terjual di TikTok Shop,” katanya.
Selain itu katanya,, Bengkel Asas & Berbayar serta Karnival TEKUN Madani akan memberi peluang kepada usahawan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang perniagaan secara praktikal.
“Program ini akan membuka ruang untuk mereka belajar dan berkembang dalam dunia keusahawanan digital, terutama melalui penggunaan TikTok Shop sebagai saluran utama untuk pemasaran dan jualan.
“Kolaborasi ini juga menyediakan Pusat Latihan untuk memastikan para pelatih dan usahawan dapat dilengkapi dengan pengetahuan dan latihan yang tepat dalam mengendalikan perniagaan mereka di dunia digital,” katanya.