KOTA KINABALU: Kedudukan Malaysia dalam Indeksi Persepsi Rasuah Malaysia “CPI” tahun 2024 kekal tidak berubah di tangga ke-57 daripada 180 buah negara di seluruh dunia selepas sekali lagi memperoleh 50 daripada 100 mata.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, namun, skandal rasuah berhubung pemberian lesen penerokaan mineral di Sabah yang melibatkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didedahkan oleh seorang pemberi maklumat secara berterusan di media sosial mulai bulan November 2024 sehingga kini yang semakin menular akan membawa impak yang besar terhadap Indeks Persepsi Rasuah Malaysia “CPI” tahun ini.
“Pengakuan perbuatan rasuah oleh 8 orang ADUN tersebut didedahkan dalam rakaman video “HD” serta bukti perbualan WhatsApp yang disahkan oleh wartawan turut disiarkan di portal MalaysiaKini dan media sosial.
“Krisis ini merupakan skandal rasuah yang terbesar dalam sejarah Negeri Sabah, saya percaya bahawa skandal rasuah ini akan membebankan penilaian antarabangsa terhadap Indeks Persepsi Rasuah Malaysia “CPI” tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Muhammad Affan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, kegagalan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas dari segi politik mahu pun perundangan walaupun sudah empat bulan skandal ini didedahkan dengan mengheret segera ADUN terlibat ke mahkamah, bukan sahaja memberikan mesej yang salah kepada rakyat tetapi membuktikan ketegasan beliau dalam memerangi rasuah selama ini cumalah lakonan semata-mata.