PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensi dibawahnya mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan di Wilayah Sabah dan Sarawak yang terkesan banjir baru-baru ini.
Inisiatif ini bagi meringankan beban yang dihadapi oleh usahawan di mana premis perniagaan terjejas, kerosakan stok barangan atau kediaman.
Antara kemudahan yang ditawarkan agensi KUSKOP iaitu TEKUN Nasional menyediakan moratorium hingga tiga (3) bulan untuk memberikan kelonggaran kewangan kepada usahawan yang terkesan untuk membayar balik pembiayaan akibat terkesan banjir.
Selain itu, mereka juga dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan dan boleh membuat penjadualan semula pembayaran pembiayaan.
Bagi usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, boleh memohon pembiayaan bertindih (overlapping) untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas. Bantuan dalam bentuk suntikan modal atau pembiayaan tambahan boleh digunakan oleh usahawan untuk memulihkan atau meningkatkan operasi perniagaan mereka selepas kejadian banjir.
Seramai 702 orang usahawan TEKUN dari Sabah dan Sarawak didapati terjejas banjir dengan anggaran kerugian RM3.2 juta.
Bank Rakyat pula menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan untuk tempoh sehingga enam (6) bulan sepanjang tempoh pembiayaan.
Antara produk yang ditawarkan menerusi kemudahan ini adalah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pajak Gadai-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Kad Kredit-i.
Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) juga menawarkan bantuan banjir berbentuk moratorium tiga (3) hingga enam (6) bulan untuk bayaran ansuran bulanan tertakluk kepada permohonan dan kelulusan pengurusan.
Selain itu, atas dasar keprihatinan agensi KUSKOP seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyumbangkan bantuan kepada anggota koperasi yang terjejas berupa Bantuan Bakul Makanan dan peralatan elektrik di Sarawak (Serian dan Miri) yang bernilai RM15,000 dan RM10,000 bagi Sabah.
Institut Koperasi Malaysia (IKMa) juga turut menyumbangkan sebanyak 100 bakul Bantuan Bakul Makanan untuk anggota koperasi yang terjejas di Kota Belud, Lahad Datu, Serian dan Bintulu.
Usahawan dan koperasi yang terjejas banjir digalakkan untuk menghubungi pejabat cawangan agensi–agensi di bawah KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif banjir yang ditawarkan.