KOTA KINABALU: Langkah Pos Malaysia membuka Pos Shop di seluruh Malaysia mencerminkan tekad ke arah transformasi perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam era digital masa kini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, walaupun perkhidmatan pos masih digunakan untuk menghantar surat dan dokumen pada era digital masa kini, inisiatif Pos Shop merupakan usaha menyediakan perkhidmatan lebih moden dan relevan dengan kehendak pelanggan masa kini.
Beliau berkata, dengan adanya Pos Shop, ia bukan sahaja memudahkan urusan seharian rakyat, malah membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negeri.
Menurutnya, setakat Disember 2024, lebih daripada 80 usahawan kecil dan sederhana tempatan di seluruh Malaysia telah menerima manfaat daripada cawangan Pos Shop menerusi tiga kategori produk yang dibekalkan iaitu Kategori Makanan Sedia Dimakan (“Ready-to-Eat”), Kategori Makanan dan Minum (F&B) dan Kategori Bukan Makanan.
“Ini membuktikan komitmen Pos Malaysia untuk terus mendukung dan memajukan industri kecil dan sederhana di negara kita. Justeru, saya berharap pelancaran Pos Shop yang pertama di Sabah di Kota Kinabalu ini, akan mampu memenuhi kehendak pelanggan, sekali gus memberi manfaat kepada usahawan PKS di Sabah untuk menjana pendapatan mereka. Saya berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain di negeri ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pos Shop Pertama di Malaysia Timur di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, Sabah yang kaya dengan sumber semula jadi dan potensi ekonomi yang besar, terus berkembang pesat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Katanya, dengan pembukaan kedai serbaneka Pos Shop di Kota Kinabalu akan membantu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, Pos Shop yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk pelanggan diperkenalkan sejajar dengan pelan transformasi Pos Malaysia untuk memanfaatkan rangkaian pejabat pos sedia ada yang berjumlah lebih 600 pejabat pos di seluruh Malaysia, termasuk sebanyak 40 pejabat pos di Sabah.
Katanya, dari pembayaran bil, pembaharuan insurans dan cukai jalan, penghantaran barang, pelaburan, pembelian setem dan banyak lagi, Pejabat Pos yang dikenali sejak lebih dua abad dahulu kini turut menawarkan makanan dan minuman mengikut peredaran zaman dan kehendak pelanggan.
“Konsep inovatif “Shop In Shop” yang berbeza daripada konsep asal Pejabat Pos kini mengintegrasikan Pejabat Pos dalam suasana yang lebih moden dan mesra pelanggan. Konsep ini membolehkan Pejabat Pos berfungsi sebagai pusat sehenti untuk komuniti setempat dengan menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan yang meliputi kemudahan membeli-belah untuk keperluan harian dalam suasana yang lebih selesa dan menyenangkan”, katanya.
Hajiji berharap Pos Malaysia turut menjadikan misi mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan mampan dalam apa jua keadaan melalui inisiatif yang dapat mengurangkan jejak karbon dan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (NetZero) menjelang 2050.
“Saya dimaklumkan Pos Malaysia kini dalam proses untuk menggantikan kenderaan sedia ada kepada kenderaan 100% elektrik menjelang 2030. Di Sabah, Pos Malaysia akan memperkenalkan 15 motosikal elektrik pertama mereka pada bulan ini”, tambahnya.