TAMBUNAN: Lebih 6,000 pengunjung membanjiri Dewan Terbuka Pisompuruan, Tambunan bagi menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru 2025 anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan.
Perayaan ini yang berlangsung pada Sabtu, 28 Dis juga turut mencatat sejarah bagi daerah ini kerana buat julung kalinya menawarkan hadiah cabutan nama bertuah berupa sebuah kereta Produa Axia dan tiga buah motorsikal, disamping 40 buah mesin rumput, 200 kampit beras dan sebagainya.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P. Paut yang merasmikan majlis itu turut menyampaikan sumbangan peribadi RM100,000 untuk kos pembangunan menyiapkan gereja baru St. Theresa Tambunan, selain sumbangan RM30,000 untuk 53 gereja lain di daerah itu. Turut menerima sumbangan ialah 33 buah sekolah melibatkan kewangan sebanyak RM16,500.
Berucap dimajlis itu, Victor berkata, sumbangan kewangan berkenaan adalah untuk membantu dan meringankan bebanan kewangan yang diperlukan badan keagamaan di daerah berkenaan.
“Begitulah juga dengan bantuan untuk pendidikan. Sambil kita merayakan Hari Krismas, kita juga tidak melupakan badan amal dan pendidikan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Menyentuh rumah terbuka perayaan itu, Victor berkata, ia merupakan platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim dan meningkatkan keharmonian dikalangan warga Tambunan.
“Ini adalah pertama kali Gagasan Rakyat Tambunan menganjurkan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru 2025, dan saya amat teruja dengan kehadiran yang amat luar biasa. Sungguh ramai,” katanya.
Selain menikmati hidangan makanan percuma yang disediakan penganjur, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas oleh artis-artis tempatan, antaranya Datuk Francis Landong dan Rosario Bianis.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tambunan, Datuk Daniel Kinsik; Ketua Bahagian Parti Majlu Sabah (SAPP) Bahagian Tambunan, Johari Yong dan Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) BahagianTambunan, Cyril P Yansalang.
Terdahulu, ketibaan Victor disambut meriah dengan persembahan tarian singa. Victor dan keluarga serta kepimpinan Gagasan Rakyat Tambunan mengucapkan selamat hari krismas kepada seluruh rakyat Tambunan.