PENAMPANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick mengajak anggota gabungan PH Sabah sama-sama bergerak ke hadapan dan mengutamakan kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.
Ewon yang juga Presiden UPKO berkata para pemimpin daripada pelbagai parti komponen PH Sabah telah menyatakan pandangan masing-masing berhubung isu pelantikan pengerusi PH negeri yang baharu.
“Kini tiba masanya untuk kita sama-sama bergerak ke hadapan. Apa yang penting sekarang ialah menunaikan amanah yang diberikan oleh pimpinan PH Sabah kepada kita.
“Biarlah prestasi saya dinilai selepas dua tahun. Tumpuan harus diberikan kepada permuafakatan dan kepimpinan dalam gabungan PH Sabah,” katanya.
Ewon berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas yang dihoskan oleh Ahli Parlimen Penampang di Buhavan Square, Donggongon, hari ini.
Terdahulu, seorang pemimpin kanan dari PKR Sabah menegaskan jawatan pengerusi PH di negeri itu adalah hak milik parti PKR, sambil merujuk kepada formula yang telah dipersetujui sebelum ini dalam kalangan ahli gabungan itu.
Wakil PKR itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata jawatan itu tidak sepatutnya dipertandingkan, sambil menekankan bahawa pemilihan baru-baru ini adalah yang pertama sejak pembentukan PH Sabah pada 2017.
Secara tradisinya, komponen PH Sabah, termasuk PKR, DAP, UPKO, dan Amanah, telah melantik seorang pemimpin PKR untuk mengetuai gabungan PH Sabah, menurut sumber itu.