KOTA KINABALU : Tindakan PEREKA Grafik dan Aktivis Politik dari Semenanjung Malaysia, Fahmi Reza memegang poster provokasi berbentuk penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman boleh menimbulkan keadaan tidak harmoni di negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya berkata, keadaan ini dilihat boleh menghasut perasaan marah serta benci kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Katanya, provokasi ini dikenal pasti boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram apabila dengan sengaja menghasut rakyat Sabah untuk menentang pelantikkan Tun Musa Aman.
“Kita menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang kepada Fahmi Reza ini agar tidak ada perkara buruk berlaku di negeri ini.
“Kelihatan beberapa posting berniat menghasut rakyat Sabah berunsur negatif, sudah tentu perbuatan Fahmi Reza ini menimbulkan keadaan tidak tenteram kalangan penduduk di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yazri berkata, setakat ini beberapa kalikatur memaparkan wajah Musa Aman mengigit wang serta perkataan protes koruptor nombor satu ditampal dibeberapa kawasan di sekitar ibu negeri.
“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Fahmi Reza sekali gus menghentikan perbuatannya dalam tempoh terdekat.
“Pagi ini kita melihat posting Fahmi berada di hadapan kawasan pelancongan terkenal, bangunan Maybank Jalan Pantai, Kota Kinabalu sehingga tular di media sosial,” jelas Mohd Yazri.
Terdahulu Fahmi Reza memuat naik di laman sosial berkaitan sekeping gambar memegang poster provokasi berbentuk penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) yang baharu, Tun Musa Aman.
di hadapan spot pelancongan terkenal, bangunan Maybank Jalan Pantai.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kedatangan Fahmi ke Sabah untuk menyertai himpunan yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa UMS pada 31 Disember ini.
Sebelum ini, Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam satu majlis di Istana Negara pada 17 Disember lalu.