Hampir 10,000 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Krismas bersama PBS dan STARSABAH

KOTA KINABALU: Hampir 10,000 pengunjung membanjiri Majlis Rumah Terbuka Krismas anjuran bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) di sini pada Rabu.

Advertisements

Majlis ini dianggap bersejarah kerana pertama kali dua parti politik bergabung menganjurkan acara tersebut, menggambarkan semangat perpaduan antara PBS dan STARSABAH.

Pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyifatkan kerjasama ini sebagai lambang penyatuan yang erat antara kedua-dua parti.

“Kelainan pada tahun ini ialah sambutan dibuat bersama STARSABAH. Saya amat bersyukur atas sambutan luar biasa ini dan berharap ia mencerminkan sokongan orang ramai kepada gabungan PBS dan STARSABAH,” kata Dr. Joachim.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada seluruh rakyat Sabah dan menyeru agar semua pihak menyambut perayaan dengan penuh harmoni.

Selain itu, beliau mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya menjelang tahun baru dan mengelakkan pemanduan dalam keadaan mabuk.

Presiden STARSABAH, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2025 kepada semua hadirin.

“Kita amat bertuah di Sabah kerana dapat meraikan pelbagai perayaan bersama. Inilah keunikan dan kelebihan kita sebagai rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam masyarakat, termasuk di peringkat politik.

Dalam perkembangan politik, Dr. Joachim menegaskan bahawa PBS akan terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walau apa pun yang berlaku.

“Menurut polisi PBS, sekali kita membentuk gabungan, kita akan terus bersama GRS,” ujarnya.

Beliau juga menyentuh tentang peralihan kepimpinan dalam parti selepas Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyerahkan baton kepimpinan kepadanya. Namun, pemilihan rasmi akan ditentukan pada kongres yang dijangka berlangsung Oktober tahun depan.

“Memandangkan tahun hadapan adalah tahun Pilihan Raya Negeri, kita akan menangguhkan pemilihan parti untuk memberi fokus kepada persiapan pilihan raya,” tambahnya.

Majlis Rumah Terbuka Krismas ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan masyarakat pelbagai latar belakang serta menunjukkan komitmen kedua-dua parti dalam membawa perpaduan kepada rakyat Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles