KOTA KINABALU: Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Hj Abdul Hakim Gulam Hassan, mengingatkan orang ramai terutama masyarakat Islam supaya tidak terikut-ikut dengan provokasi pihak tertentu yang mempertikai pelantikan mantan Ketua Menteri, Tun Musa Hj Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11.
Katanya, pelantikan itu yang sudah diperkenan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah `satu ketentuan’ takdir daripada Allah SWT.
“Masyarakat Islam jangan terikut-ikut rentak provokasi mana-mana pihak. Takdir telah tersurat dan ini merupakan satu ketentuan daripada Allah SWT,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Hakim menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Musa atas pelantikan sebagai TYT Sabah.
“Pelantikan Tun Musa sebagai ketua dan payung pemerintahan negeri Sabah adalah atas ketentuan daripada Allah SWT. Manusia hanya merancang, tetapi Allah jua yang menentukan segalanya,” katanya.
Beliau berkata pelantikan Tun Musa amat bertepatan sekali dengan mengambil kira pengalaman luas beliau dalam politik sejak zaman Usno lagi.
Selain itu, katanya, Tun Musa turut membuktikan kecemerlangan sebagai pemimpin terbaik yang banyak berjasa kepada rakyat dan negeri Sabah sepanjang 15 tahun menjadi Ketua Menteri di bawah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Beliau (Tun Musa) banyak membawa perubahan kepada negeri ini, sebagaimana terlihat dalam landskap pembangunan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hakim turut mengingatkan golongan belia terutama mahasiswa supaya tidak membuat apa-apa tindakan yang boleh merosakkan masa depan mereka.
Beliau berkata khabar angin mengenai cubaan segelintir mahasiswa mengadakan tunjuk perasaan pada 31 Disember ini, berkaitan isu politik Sabah mutakhir ini, adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.
“Sebaiknya tumpukan perhatian kepada pembelajaran kerana mahasiswa hari ini bakal menjadi pelapis kepimpinan masa depan,” katanya.