Bidang Sukan Lahir Murid Cergas Fizikal


KOTA BELUD: Bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental.

Advertisements

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Usukan, Datuk Japlin Akim berkata menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi.

Beliau berkata sukan juga mampu membentuk seorang murid yang cergas, patuh dengan aturan dan secara tidak langsung  membentuk seorang atlet yang  berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai  jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.

Katanya kejohanan  ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara, perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.

“Matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SK Pituru, Kota Belud. sini pada Jumaat.

Japlin menambah aktiviti sukan  juga berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Jelasnya perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan.

“Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama.

“Kegiatan sukan yang berterusan akan menjadi satu daripada benteng yang menjadi penghalang kepada murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat. Melalui latihan persiapan mental dan spiritual, seseorang atlet itu dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat.”

Tambahnya bidang sukan adalah platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles