KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dingatkan supaya tidak mudah lupa asal usul sehingga berjaya dalam arena politik.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata semua yang “kamu ada sekarang ialah dari keberadaan kamu dalam UMNO dulu”.
Beliau turut meminta muhasabah diri kerana rakyat Sabah kini menghadapi masalah air yang teruk, masalah elektrik yang tidak berkesudahan dan masalah infrastruktur lain yang tiada penghujung.
“Tiada satu perubahan yang sinifikan berlaku untuk mengatasi isu-isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nizam yang mempersoalkan berapa penggal Datuk Bung Moktar Radin menjadi MP Kinabatangan tetapi kawasan itu masih mundur dan daif.
Jeffery berkata jika dibandingkan keluasan daerah Kinabatangan dengan DUN Apas, ia jauh berbeza keluasannya dan geografinya.
“Maka sudah tentu penilaian pembangunan pun berbeza, jadi saudara Nizam kena lah realistik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajjb supaya menyelesaikan dahulu isu-isu utama yang berlaku di Sabah dan bukan menuding mana-mana kawasan kerana “semuanya pun dalam pemerintahan GRS sekarang”.