KOTA KINABALU: Datuk Sapawi Ahmad yang baharu dipilih semula presiden Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menggariskan pelan strategik pembugaran USIA 2.0 untuk tempoh 2025-2027.
Beliau berkata pelan strategik itu penting bagi memastikan USIA terus relevan terutama dalam bidang dakwah dan
pendidikan.
Sapawi berkata ini termasuk menyiapkan bangunan dan menyediakan kemudahan pendidikan sesuai tuntutan semasa di Pusat Lahihan Dakwah di Kota Marudu.
“Buat permulaan, USIA akan menawarkan kursus SPM express dan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Jika semuanya berjalan lancar, Pusat Latihan Dakwah dijangka siap dan beroperasi tahun depan,” katanya.
Sapawi berkata demikian kepada pemberita di SICC, dekat sini hari ini.
Menurutnya beliau turut berazam untuk mengembalikan kegemilangan USIA dengan mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti di Sembulan.
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk meningkat penglibatan masyakarat Islam, khususnya aktiviti sosial dan ekonomi.
“Begitu juga dengan pelan strategik untuk menbangunkan pusat perniagaan di kawasan tapak tanah milik USIA di pekan Semporna.
“Sebagai antara pusat pelancongan utama di Sabah, kita melihat potensi yang baik untuk membangunkan tapak tanah USIA itu untuk tujuan pusat komersial,” katanya.
Sapawi berkata mengikut perancangan, projek bangunan komersial di Semporna itu dijangka siap pada tahun 2026.
Mengenai projek pengubahsuaian bangunan USIA lama di Sembulan, Sapawi berkata setakat ini fasa pertama projek berkenaan sudah dilaksanakan.
Beliau juga bertekad untuk mewujudkan koperasi USIA di setiap bahagian pada masa akan datang selain menjenamakan semua Yayasan Persatuan USIA Bersatu.