KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed menyifatkan kenyataan bekas Adun Petagas Datuk James Ligunjang bahawa UMNO tiada kuasa moral untuk menuntut peletakan jawatan Ketua Menteri sebagai kurang bijak.
Beliau berkata ini kerana bekas Adun itu seolah-olah tidak memahami maksud pengertian jawatan Ketua Menteri dan jawatan Ketua Parti.
Menurut Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan, jawatan Ketua Menteri Sabah adalah hak seluruh rakyat Sabah dan dengan itu, rakyat berhak menyatakan apa juga perasaan terhadap penyandang jawatan Ketua Menteri.
Sebaliknya, Jeffery berkata kedudukan ketua parti terpulang pada parti masing-masing.
“Saya rasa dalam parti UMNO Sabah tidak ada yang tidak munasabah seperti apa yang diperkatakan oleh James Ligunjang….jadi saya rasa lebih baik jaga parti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffery berkata kes-kes yang sedang berlaku dan sudah berlaku ‘itu adalah keputusan mahkamah dan sebagai rakyat Malaysia, kita mesti memberi kenyakinan penuh kepada sistem kehakiman kita dan keputusan itu adalah muktamad”.
“Jika kita menyatakan pendapat berbeza dengan keputusan kehakiman bermakna itu kurang yakin dengan sistem kehakiman yang sedia ada,” katanya.
Jeffery berkata susulan seruan pelbagai pihak yang memohon agar Ketua Menteri buat laporan polis terhadap pihak yang dikatakan ‘ugut’ iaitu pihak pemberi maklumat
“Bagaimanapun, sehingga kini tiada laporan polis dibuat….jadi apa maksud itu?
“Saya fikir saudara J Ligunjang lebih baik tolong perkuatkan jentera GRS untuk menghadapi PRN 17 dari menyatakan pendapat yang kurang diyakini oleh rakyat Sabah,” katanya.