KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, menegaskan pentingnya pemimpin dan rakyat Sabah berdiri teguh mempertahankan hak negeri tanpa mudah terpengaruh dengan dakwaan atau desakan yang tidak berasas.
Azizah yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort itu memuji usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dikatakannya telah membawa banyak perubahan positif walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Menurut Azizah, tuduhan terhadap Ketua Menteri Sabah mengenai isu lesen mineral adalah tidak wajar kerana tindakan tersebut dibuat demi menjaga kepentingan tanah negeri dan sumber semula jadi Sabah.
“Lesen itu sendiri telah dibatalkan setelah laporan menunjukkan kawasan yang terlibat melibatkan satu juta ekar tanah negeri, termasuk kawasan tadahan air penting. Ini membuktikan keprihatinan Ketua Menteri dalam memastikan bumi Sabah dijaga demi generasi akan datang,” tegas Azizah.
Beliau juga mengkritik tindakan sesetengah pihak yang menurutnya lebih tertumpu kepada menjatuhkan pemimpin Sabah berbanding memperjuangkan hak rakyat negeri.
Justeru, Azizah menekankan bahawa pemimpin Sabah seharusnya mendukung usaha untuk memastikan hasil bumi negeri dikembalikan kepada rakyat Sabah.
“Adakah salah untuk mempertahankan hak Sabah? Kita memerlukan pemimpin yang berjiwa besar, yang berjuang untuk masa depan anak-anak Sabah dan kemajuan negeri kita,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu Azizah turut mengingatkan pihak tertentu untuk tidak bersikap “double standard” dengan mendesak Ketua Menteri meletakkan jawatan, sedangkan pemimpin lain yang menghadapi tuduhan di mahkamah masih memegang jawatan tinggi.
“Pemimpin yang telah menghadapi tuduhan serius di mahkamah tidak pula diminta meletakkan jawatan. Mengapa ini tidak menjadi perhatian mereka?” soal beliau.
Sementara itu Azizah turut memuji pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor, termasuk Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk golongan kurang mampu dan bantuan bulanan RM300 kepada keluarga yang memerlukan pada tahun hadapan. Para pesara negeri juga dijangka menerima bayaran khas RM1,000 sebelum sambutan Hari Rakyat Sabah.
“Ini adalah petunjuk seorang pemimpin yang baik. Semua hasil yang diperoleh digunakan untuk kebajikan rakyat Sabah. Kita harus bersyukur dan menyokong usaha ini, bukan sebaliknya,” tambah beliau.
Azizah juga menggesa generasi muda dan pemimpin baru untuk berfikir dengan matang dan menilai situasi secara rasional sebelum membuat kenyataan atau keputusan yang boleh memecahbelahkan negeri.
“Jika benar mahu menjadi pemimpin Sabah, tanamkan dalam jiwa untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah. Jangan mudah terpedaya atau dipengaruhi pihak luar yang tidak memahami keperluan sebenar negeri ini,” ujar Azizah