KOTA MARUDU: Meskipun rayuan demi rayuan dibuat oleh ratusan penduduk kampung Masolog untuk menikmati bekalan air bersih daripada Jabatan Air Sabah, namun belum ada tanda-tanda impian mereka selama ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
Menurut aktivis sosial dari Tandek, Jimson Majemal, setakat ini Kampung Masolog belum menerima bekalan air bersih sejak Sabah merdeka 60 Tahun yang lalu walaupun jarak hanya 12 kilometer daripada pekan Kota Marudu yang terletak di bahagian pantai utara Sabah.
Beliau yang juga mantan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu
berkata Kampung Masolog mempunyai pelbagai kemudahan yang dibina oleh pihak Kerajaan, termasuk sekolah SK Masalog, klinik Desa dan Dewan serbaguna.
Katanya terdapat juga bangunan Rela, Bangunan Tadika Kemas, Masjid, Balai Raya, Gereja, gerai makan, kedai runcit, jalan raya berturap.
“Anehnya kampung yang berdekatan pekan Kota Marudu ini masih belum
menikmati bekalan air bersih dari Jabatan Air.
“Ramai penduduk disini berpendapat masa menunggu lebih 60 tahun itu terlalu lama, dan harian kenapa kampung mereka terpinggir sedangkan setiap tahun peruntukan besar pembangunan luar bandar diberikan kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Jimson berharap kerajaan Madani pimipinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap rayuan penduduk Kg Masolog.
Beliau juga berharap Menteri Persekutuan yang juga presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dapat membantu membawa isu permasalahan rakyat itu ke kementerian berkenaan demi masa depan penduduk di situ yang lebih baik.