Wujudkan bank, penerbangan Sabah sendiri antara manifesto terbaharu diumum KDM

PITAS: Mewujudkan bank dan syarikat penerbangan Sabah sendiri merupakan dua lagi manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang diumumkan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), di sini, semalam.

Advertisements

Dua manifesto terbaharu KDM itu diumumkan Presidennya, Datuk Peter Anthony, pada Majlis Pelancaran KDM Bahagian Kudat, di Kampung Kalipuon, di Pitas.

“Sudah tiba masanya kita mewujudkan bank sendiri (bank Sabah) sama seperti dilakukan Sarawak sebelum ini, ia bagi memudahkan orang-orang kita, orang-orang kampung berurusan, kerana kita tahu semua bank yang ada di negeri ketika ini pusatnya di Kuala Lumpur.

“Satu lagi manifesto yang saya ingin umumkan di sini (Pitas) adalah mewujudkan penerbangan Sabah sendiri, kita sedia maklum harga tiket penerbangan sangat tinggi, ada sampai RM5,000, RM3,000, RM2,000 sehinggakan ada pelajar-pelajar kita tidak dapat balik ke kampung halaman masing-masing kerana tiada duit…kasihan.

“Memang ada juga syarikat penerbangan yang menawarkan harga yang murah RM200, RM300…tapi kadang-kadang ianya naik mendadak terutama di musim perayaan atau cuti,” katanya.

Peter sebelum ini telah mengumumkan lima manifesto KDM sekiranya parti itu menerajui kerajaan selepas PRN17.

Lima manifesto berkenaan adalah melibatkan biasiswa pendidikan, bantuan bulanan kepada warga emas, pemberian rumah kepada golongan miskin, mewujudkan semula pemberian dividen Amanah Saham Sabah serta memberi fokus kepada usaha menambahbaik pengurusan tanah di Sabah.

KDM sebelum ini juga telah mengumumkan akan bergerak secara solo pada PRN17 dengan mensasarkan antara 30 hingga 35 kerusi untuk ditandingi.

Peter berkata, sasaran kerusi itu mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa berikutan permintaan daripada banyak kawasan termasuk di kawasan bukan majoriti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta kawasan campuran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles