SANDAKAN: Tindakan pantas ADUN Tanjung Papat Datuk Frankie Poon Ming Fung mengusahakan pembinaan jambatan kayu sementara ternyata memberi kelegaan kepada penduduk kampung Sim-Sim, dekat sini.
Dalam masa hanya 4 hari selepas kejadian jambatan roboh di Jambatan 6, Kampung Sim Sim, sebuah jambatan kayu sementara telah berjaya dibina yan sekaligus memudahkan pergerakan penduduk setempat dengan selamat.
Pembinaan jambatan sementara ini adalah hasil usaha pihak ADUN N.56 Tanjong Papat yang prihatin masalah penduduk di situ.
Susulan kejayaan itu, Frankie Poon menzahirkan penghargaan kepada pasukan yang bekerja keras menyiapkan jambatan itu dalam tempoh yang singkat.
“Kami komited untuk memberikan bantuan segera dalam situasi kecemasan seperti ini bagi memastikan keselamatan penduduk terus terpelihara.
“Jambatan sementara ini adalah langkah awal sementara menunggu pembinaan jambatan kekal yang lebih kukuh dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Frankie Poon mengingatkan penduduk setempat supaya berhati-hati ketika menggunakan jambatan, dan pihak berkuasa akan terus memantau keadaan sehingga pembaikan jangka panjang dapat dilaksanakan.