KOTA KINABALU: Cadangan agar semua penduduk asal Sabah mendaftar semula MyKad yang dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri wajar dipertimbangkan.
Aktivis Sosial Gundohing Musli Oli melihat
beberapa kelebihan jika cadangan itu menjadi kenyataan.
Menurutnya pendaftaran semula MyKad itu akan membawa kepada peningkatan kesahihan data.
“Dengan mendaftar semula MyKad, kerajaan negeri dapat memastikan bahawa data penduduk adalah tepat dan sahih.
“Ini dapat mengurangkan isu-isu berkaitan dengan dokumen palsu atau tidak sah,” katanya.
Musli mengulas idea yang dilontarkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Salleh Said Keruak berhubung perkata itu.
Sebelum ini, Salleh telah mencadangkan agar semua penduduk asal Sabah mendaftar semula MyKad bagi menangani pelbagai isu dokumentasi, termasuk dokumen burung-burung.
Beliau berkata adalah lebih baik jika keseluruhan proses pendaftaran itu dikendalikan oleh kerajaan Sabah.
Musli berkata sekiranya proses pendaftarqn semula itu diurus oleh kerajaan negeri, ia boleh memastikan pengurusan yang lebih efisien dan responsif terhadap keperluan penduduk Sabah.
“Keadaan berbeza kalau dikendalikan oleh Persekutuan yang kurang memahami citra orang Sabah,” katanya.
Seterusnya Musli berkata ia akan membuka jalan kepada proses yang lebih telus dan adil lebih-lebih lagi jika melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk penduduk asal dan pihak berkuasa tempatan.
“Cadangan ini juga akan membawa banyak kesan positif, termasuk peningkatan keyakinan penduduk kerana data penduduk adalah sahih dan tepat, penduduk Sabah mungkin akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap kerajaan negeri, Pengurangan manipulasi politik dan; Peningkatan keselamatan ketenteraman,” katanya.
Bagaimanapun, Musli yang juga penulis buku berkata terdapat beberapa kekangan dan halangan yang perlu diambil kira.
“Antaranya kos dan pembiayaan, logisitik dan infrastruktur serta yang paling utama kemungkinan adanya rintangan politik dari pihak-pihak tertentu yang mungkin tidak bersetuju atau mahu memanipulasi cadangan ini,” katanya.
“Secara umumnya cadangan Salleh ini adalah satu langkah yang berpotensi untuk menyelesaikan isu dokumentasi yang bercelaru.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan perancangan yang teliti, pembiayaan yang mencukupi, dan penglibatan semua pihak berkepentingan,” katanya.