KOTA KINABALU : Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) dijangka boleh diperluaskan untuk dianjurkan di daerah lain pada masa depan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bagaimanapun hasrat berkenaan hanya mampu dicapai sekiranya lebuh raya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan ketika ini berjaya disiapkan.
Katanya, festival ini merupakan salah satu faktor yang boleh menarik minat para peminat Big Bikers, bukan sahaja daripada Malaysia tetapi juga luar negara.
“Sudah pasti ia akan menjadi satu tarikan untuk mereka datang berkunjung ke Sabah.
“Apabila mereka berkunjung ke Sabah, sudah pasti mereka akan melihat keindahan tempat-tempat yang menarik di Sabah yang memang terkenal dengan pantai-pantainya, gunung-ganangnya, hutan-hutannya, hidupan liar dan sebagainya,” katanya ketika pada Jamuan Malam Gala BIIBBF 2024, di sini pada Sabtu.
Nizam berkata, penganjuran itu sekali gus mampu memberikan banyak limpahan ekonomi khususnya dari sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan banyak lagi.
“Kerajaan negeri sememangnya berbesar hati agar program seumpamanya mampu dijadikan acara tahunan di Sabah kerana pelbagai manfaat dijana menerusi penganjuran itu.
“Pihak penganjur juga berhasrat membawa program ini ke Tawau, tetapi cabaran kita pada ketika ini adalah keadaan jalan raya yang perlu dinaik taraf,” kata Nizam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bermotorsikal Berkuasa Tinggi Sabah, Datuk Osman Ahmed berkata, pihaknya sedang merancang bagi meluaskan lagi program berkenaan di Sabah sebagai satu daya tarikan pelancongan di negeri ini.
Katanya, program kali ini disertai sejumlah 1,150 peserta yang membabitkan 500 pemilik motosikal.
Menurutnya, terdapat beberapa pemilik yang mendakwa mengalami kerosakan jentera termasuk tayar serta rim pecah akibat keadaan jalan raya tidak sempurna.
Katanya, terdapat juga penunggang motosikal berkuasa tinggi mengalami kecederaan ketika bersiar-siar di daerah Kundasang Ranau, sebelum menghadiri program berkenaan.