SANDAKAN: Pemimpin UMNO Sabah menyarankan Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sabah Datuk Chan Foong Hin, sebelum berniat untuk menasihati UMNO Sabah tentang erti hormat, lebih baik dia (Chan) mengajari Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suih Sim untuk menghormati agama Islam terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata Chan sepatutnya nasihat dan ajari pemimpin-pemimpin DAP untuk tidak lagi menyentuh dan mempersoalkan urusan agama Islam yang tidak ada kaitan dengan kamu sebagaimana kami tidak pernah menyentuh soal agama kamu.
“Islam ada agama rasmi sepertimana ia termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Maka, hormati kedudukan agama Islam dan berhenti mempolitikkan isu tersebut,” tegasnya.
Beliau menjelaskan ini kerana isu pensijilan halal antara Datuk Dr. Akmal dan Teresa Kok sudah pun di dalam siasatan pihak berkuasa.
“Oleh itu, beri ruang sepenuhnya untuk pihak polis membuat siasatan dan mencari kebenaran.
“UMNO Sabah akan terus mempertahankan agama Islam tanpa rasa apologetik. Jika Chan dan DAP Sabah menghormati UMNO Sabah kami juga akan menghormati DAP Sabah,” katanya.
Mengenai soal kerjasama parti menghadapi PRN17 Sabah, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata UMNO Sabah tidak berunding secara terus bersama DAP Sabah tetapi dilakukan atas platform BN dan PH.
Sekali lagi, Suhaimi tekankan secara tegas mengharapkan Chan untuk tidak lagi memperbesarkan isu ini.
“Jika ingin terus kerjasama terbentuk, sila hormati agama Islam dan UMNO Sabah kerana bak kata pepatah kami bukan seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’, atau ‘apatah lagi melukut di tepi gantang’.
Beliau turut menjelaskan hormati agama Islam dan kami akan berjuanglah kerana Allah SWT.