SANDAKAN: Rakyat di negara ini khususnya generasi muda perlu menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu sehingga membawa kemakmuran dan pembangunan yang dikecapi hari ini.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata perjuangan menuntut kebebasan bukan sesuatu yang mudah malah, pembangunan negara pasca kemerdekaan juga melalui pelbagai cabaran dan rintangan.
“Hasil pengorbanan yang tidak mengenal maka putus asa, Malaysia akhirnya bebas daripada belenggu penjajah dan nikmatnya dirasai oleh generasi sekarang,” katanya ketika merasmikan Malam Keluarga Malaysia “Malaysia Madani : Jiwa Merdeka” sempena Sambutan Hari Malaysia Ke-61 di Taman Sri Labuk Batu 8, disini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran, Zaini Haji Tiksun.
Beliau menjelaskan Malaysia menyambut Bulan Kebangsaan bermula 1 Ogos sehingga 16 September setiap tahun sebagai memperingati pengorbanan pejuang serta pemimpin Negara dalam memperjuangkan kemerdekaan disamping memupuk semangat patriotisme serta perpaduan rakyat Malaysia.
“Pada tahun 2024, “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.
“Logo sambutan pada tahun ini berkonsepkan Malaysia Madani iaitu sebuah konsep panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran negara yang lebih manusiawi. lanya bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban,” katanya.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata pelbagai aktiviti sambutan dilaksanakan adalah bagi menanamkan dalam jati diri dikalangan masyarakat kampung khasnya golongan belia, semangat patriotisme, penghayatan kemerdekaan serta menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang bulan kebangsaan.
Beliau diharapkan melalui program ini dapat memupuk semangat partriotisme dan menanam penghayatan kemerdekaan dalam diri masyarakat dan dalam jangka masa panjang ia akan dapat melahirkan individu yang mempunyai jati diri dan cintakan Negara.