KOTA KINABALU: Pengundi muda kini menjadi kuasa penting dalam pilihan raya, termasuk di Malaysia dengan pelaksanaan Undi18.
Bagi menarik sokongan golongan itu, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat parti politik wajar menyedari bahawa pengundi muda bukan satu kumpulan yang seragam.
Dalam catatan terbaharu di Facebook, beliau berkata pengundi muda tidak semestinya anti-establishment, tetapi lebih fokus kepada pelbagai isu semasa.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata ini termasuk peluang ekonomi, pekerjaan, kestabilan ekonimi dan perumahan mampu milik.
Beliau berkata pengundi muda turut mengambil kira peluang pendidikan dan kemahiran, khususnya akses kepada pendidikan berkualiti dan selaras dengan pasaran kerja.
Selain itu, Salleh berkata pengundi muda cenderung melihat keadilan sosial , penglibatan digital, penglibatan politik dasar alam sekitar, anti-rasuah dan tadbir urus baik.
Dalam konteks Sabah dan Sarawak pula, bekas Ketua Menteri Sabah itu berpendapat pengundi muda lebih fokus kepada isu autonomi, pembangunan infrastruktur, dan akses kepada sumber ekonomi.
Mereka juga mengutamakan pembangunan asas seperti jalan, sekolah, dan kemudahan internet di luar bandar serta peluang pekerjaan dan kos sara hidup di bandar, katanya.
Sehubungan itu, Salleh berkata parti politk perlu memastikan pendekatan berbeza itu bagi mengukuhkan sokongan pengundi muda di Sabah dan Sarawak, selain mengambil kira keperluan pengundi muda di Semenanjung.