SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah telah membatalkan caj yuran masuk bagi kawasan mendaki popular, Hutan Simpan Bukit Leila, berkuat kuasa serta-merta, dalam usaha mempromosikan aktiviti luar dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan pejabat Jabatan Perhutanan Sandakan, hari ini (Khamis), di mana beliau bertemu dengan Timbalan Pegawai Perhutanan Sandakan, Asran.
Sebelum ini, George telah menerima aduan daripada pendaki di daerah ini mengenai caj yang dikenakan untuk masuk ke kawasan pendakian tersebut, di mana pendaki dikehendaki mendaftar dan membayar caj masuk di pejabat Jabatan Perhutanan sebelum boleh memasuki hutan melalui pusat futsal Sandakan di Batu 4.
“Tempat ini dikatakan sebagai kawasan pendakian terbaik di Sandakan. Namun, semua syarat ini telah membuatkan pendaki tidak lagi mahu membuat aktiviti mendaki di Bukit Leila. Saya telah membangkitkan perkara ini kepada Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, yang kemudiannya mengatur pertemuan dengan pegawainya di Sandakan.
“Selepas membincangkan masalah ini bersama Asran, dan seterusnya berbincang semula dengan Frederick, jabatan tersebut akhirnya bersetuju untuk membatalkan caj masuk bagi pendaki di Bukit Leila,” kata George dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, George turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan, khususnya kepada Datuk Frederick Kugan atas sikap keterbukaan beliau yang membolehkan orang ramai menikmati kawasan hutan ini tanpa dikenakan caj.
George berkata beliau memahami bahawa jabatan tersebut hanyalah sedang menjalankan tugas untuk memulihara hutan simpan Bukit Leila yang dikategorikan sebagai hutan simpan kelas I.
Justeru, beliau menyeru semua pendaki agar berdisiplin serta tidak membuang sampah merata-rata, khususnya sampah plastic di Bukit Leila.
Beliau turut mengingatkan bahawa aktiviti berkhemah, mendirikan khemah, menebang pokok, dan memanggang adalah dilarang sama sekali di kawasan itu bagi memastikan kelestarian alam semula jadi.
Satu kaunter pendaftaran akan dibuka di pusat Futsal Sandakan bagi merekodkan maklumat pendaki untuk tujuan keselamatan. Selain itu, pendaki dinasihatkan untuk mendaki secara berkumpulan dan memastikan sekurang-kurangnya dua individu membawa telefon pintar sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.