RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kaingaran di dewan Kampung Meridi, di sini, pada Selasa.
Dalam ucapannya, beliau berkata, beliau akan berusaha untuk melawat kesemua PDM dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang walaupun sibuk dengan tugasan rasmi yang perlu dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, beliau telah mengarahkan Pemaju Mukim, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberikan kerjasama kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dalam pelaksanaan semua program dan melihat keperluan orang kampung.
Beliau menegaskan bahawa mereka yang telah diamanahkan untuk bekerja di satu-satu kawasan memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan masalah tanpa mengira fahaman politik.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus yang memerintah sekarang ini akan terus membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik seseorang itu katanya.
“Apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu, demi rakyat,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Mengenai pembangunan, beliau berkata, kawasan Meridi sudah mempunyai klinik kesihatan, sekolah rendah dan menengah, serta bekalan elektrik dan 95 peratus sudah menerima bekalan air bersih.
“Namun demikian, ada masanya paip graviti ini akan mengalami kerosakan. Oleh itu, saya meminta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM)/ Pemaju Mukim sentiasa melihat keperluan penduduk dan membantu,” katanya.
Dr. Joachim juga berterima kasih kepada para pemimpin di PDM itu atas inisiatif yang dilaksanakan dalam menjayakan program tersebut.
Beliau turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada para penduduk kampung.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo, Ketua Daerah, Dominic Ganie, PPM Dun Kundasang, Dounis Sani, Pemaju-pemaju Mukim; Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-ketua Kampung.