KOTA KINABALU: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar mempertingkatkan lagi tahap Kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang.
Ketua Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata PRN Ke- 17 kini berada diambang pintu, walau pun tempoh DUN Sabah berakhir penghujung Disember tahun depan.
“Walaupun laporan hasil dari pemeriksaan disetiap bahagian menunjukkan kesiapsiagaan diperingkat akar umbi memuaskan, namun ianya perlu dipertingkatkan. Ini kerana ada beberapa perkara perlu penambahbaikan yang perlu dilakukan sebelum PRN diadakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO Sabah pada petang Isnin.
Sehubungan itu, katanya usaha untuk mengenal pasti jumlah ahli UMNO disetiap cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu diperkemaskini segara.
Katanya ini termasuk jumlah pengundi lain selain pembentukan jawatankuasa di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu dibentuk awal dan dikemaskini dan menunggu masa untuk digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi PRN.
Dalam pada itu, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu bahagian-bahagian UMNO di negeri ini, terus melaksanakan program program menyentuni akar umbi selain membantu mereka yang memerlukan bantuan dan turut meninjau isu isu pembangunan yang menjadi masalah kepada rakyat untuk disuarakan kepada pihak berkenaan.
“Saya harap selain bahagian sayap-sayap utama Wanita,Pemuda dan Puteri perlu berjalan seiring dalam perlaksanaan program-program yang diadakan dalam erti kata budaya kerja berpasukan perlu diamalkan bagi menjamin kekuatan parti,” tegas Bung.
Pada majlis tersebut juga UMNO Sabah terus menzahirkan sokongan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika ini sedang menjalani hukuman.
Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan UMNO Sabah berpegang teguh pada pendirian untuk meneruskan solidariti bersama Najib
“UMNO Sabah berharap pembebasan dan keadilan terhadap Najib diberikan pertimbangan sewajarnya atas segala jasa serta sumbangan beliau kepada negara.
“Pendirian ini penting bagi memastikan sistem kehakiman negara tidak terjejas dan hak Najib sebagai seorang warganegara Malaysia diberikan keadilan sewajarnya,” katanya.
Katanya, Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil dan mesti merasakan diberi perbicaraan yang adil.
Diakhir mesyuarat Bung bersama barisan kepimpinan utama UMNO Sabah turut memotong kek yang disumbangkan oleh Keluarga Najib sebagai menghargai sokongan UMNO Sabah kepada Najib selama ini dan mendoakan semoga Najib diberikan kekuatan semangat untuk menghadapi ujian yang beliau hadapi ketika ini.