KOTA KINABALU: UMNO Sabah akan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa BN Sabah bagi memperhalusi kerjasama bersama PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerjasama di peringkat negeri itu penting bagi memastikan kemenangan gabungan parti berkenaan pada PRN akan datang.
Beliau yang juga pengerusi BN Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Sabah di sini hari ini.
Menurut Bung, mesyuarat itu antara lain bertujuan membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Bung berkata UMNO Sabah menyokong kenyataan Presiden, Datuk Seri Panglima Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kempen BN-PH di PRK Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan perpaduan dalam pilihan raya akan datang.
“Sebagai langkah strategik, kepimpinan negeri digesa membantu kempen PRK Mahkota untuk memperkukuh kerjasama BN-PH, sekaligus memastikan kemenangan calon BN.
“Kejayaan model ini akan dijadikan panduan bagi PRN17, di mana UMNO Sabah yakin kerjasama BN-PH akan menjamin kestabilan politik dan kemakmuran Sabah,” katanya.