KOTA KINABALU: Semua perhatian kini tertumpu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual mempengerusikan sendiri mesyuarat MA63 di Sabah pada 12 September ini.
Perbincangan yang bertujuan untuk mencari penyelesaian isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 itu amat signifan, dengan penekanan khusus kepada 40% tuntutan hasil kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun beberapa tokoh politik tempatan menyatakan keraguan tentang komitmen Perdana Menteri untuk menangani isu mendesak itu, timbalan ketua penerangan PKR Razeef Rakimin tetap yakin mesyuarat berkenaan dapat membuahkan hasil positif.
Beliau optimis mesyuarat MA63 itu akan menghadiahkan “berita baik” kepada jutaan rakyat Sabah yang menyambut Hari Malaysia pada 16 Sept ini.
“Kami, dalam PKR Sabah, amat yakin bahawa PMX berkemampuan untuk menyelesaikan isu dengan sebaik mungkin.
“Harapan kami ialah perbincangan MA63 ini akan menyelesaikan sebarang kekangan yang boleh menghalang pelaksanaan penuh perjanjian itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sejak parti nasional PKR ditubuhkan pada 1999, ia telah memperjuangkan hak-hak negeri Sabah, termasuk isu MA63 seperti yang termaktub dalam Perkara 5.8 perlembagaan parti tersebut.
Razeef menegaskan bahawa Anwar, sebagai perdana menteri selama lebih setahun lapan bulan, telah mencapai kemajuan yang amat membanggakan.
“Rentak kemajuan atau pembaharuan di bawah kepimpinan Anwar jelas lebih pantas berbanding sebelum ini, terutama di Sabah….saya rasa dengan adanya perbincangan meja bulat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak nanti, isu tuntutan 40 peratus yang berlarutan ini dapat diselesaikan,” katanya.
Razeef juga menegaskan bahawa parti itu akan tetap menggunakan sama ada logo PH atau PKR bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, sekali gus menolak spekulasi bahawa mereka akan menggunakan logo GRS seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak di media sosial.
Selain itu, Razeef mengumumkan bahawa parti itu akan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat Keadilan mengenai MA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 15 September.
Beliau berkata perbincangan meja bulat itu antara lain bertujuan merungkai isu berbangkit berkaitan MA63, dan ia dijangka dihadiri wakil dari Sabah dan Sarawak.
Selain menghadiri mesyuarat MA63, Razeef berkata pada hari yang sama Perdana Menteri dijangka melawat Felda Sahabat di Lahad Datu dan lombong emas di Tawau.
Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Perhimpunan Perdana Rakyat di Tawau pada 19 Okt depan.