KOTA KINABALU: Anggota Parlimen Libaran Suhaimi Nasir mendesak
Ketua Menteri dan Menteri Belia Sukan Sabah segera memberikan penjelasan berhubung isu komitmen Kerajaan Sabah menyumbang RM100 juta bagi menjayakan Sukan SEA 2027.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata penjelasan terperinci itu penting susulan kenyataan Menteri Kewangan Datuk Masidi Manjun bahawa beliau tidak sedar atau tidak tahu akan komitmen yang dibuat oleh kerajaan Sabah itu.
“Adakah Datuk Seri Masidi Manjun mengatakan YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan Malaysia) sebagai seorang pembohong ataupun penafian tersebut merupakan satu taktik untuk menutup kegagalan didalam Kerajaan GRS?
“Atau ia menunjukkan satu keputusan peribadi yang membelakangkan jemaah menteri Sabah.
“Maka saya desak untuk YAB Ketua Menteri dan Menteri Belia Sukan Sabah untuk memberikan penjelasan yang jujur serta telus secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Suhaimi, penjelasan itu perlu memandangkan wang yang digunakan ialah wang rakyat dan rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka dibelanjakan.
“Inilah bukti satu kegagalan sebuah Kerajaan yang tidak mempunyai mandat rakyat dan hanya terbina atas mandat politik mereka sendiri. Tidak ada arah tujuan yang jelas, longgar dan menyusahkan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Hannah Yeoh dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan Sabah (GRS) akan menyumbang RM100 juta kepada penganjuran Sukan SEA 2027.