MA63 perlu dilaksanakan tanpa berlengah lagi – Mohd Azis

KOTA KINABALU : Sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-67, parti Warisan menggesa kerajaan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963, atau MA63 tanpa berlengah lagi.

Ketua Penerangan Warisan, Mohd Azis Jamman berkata, adalah penting bagi negara ini mengingati perjanjian yang meletakkan asas kepada penubuhan Malaysia.

“Saya amat percaya bahawa hak Sabah mesti ditunaikan tanpa berlengah-lengah.

“MA63 telah ditandatangani, dipersetujui, dan dimeterai pada 1963 oleh pemimpin Sabah, Sarawak, (Singapura ketika itu) dan Malaya, yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Pelaksanaan MA63 adalah wajib mengikut perlembagaan dan oleh itu tidak memerlukan perbincangan lagi.Masa untuk melaksanakannnya adalah sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azis yang berasal dari Sabah mengingatkan pemimpin negara bahawa perjanjian itu bukan sahaja mengenai pemberian 40 peratus hasil khas untuk negeri itu.

Sebaliknya, bekas timbalan menteri dalam negeri itu berkata, MA63 turut mentakrifkan peruntukan dana antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melalui Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama, yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Senarai ini termaktub dalam Perlembagaan dan disusun untuk memastikan keperluan negara dan tempatan dibiayai secukupnya sambil menghormati autonomi dan pertimbangan khas negeri-negeri yang berbeza, khususnya Sabah dan Sarawak.

“Adalah penting untuk memenuhi dan menghormati apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

“Sepatutnya tiada lagi jawatankuasa, tiada lagi perbincangan, tiada lagi rundingan, dan tiada lagi mesyuarat,” katanya.

Bekas ahli parlimen Sepanggar itu juga menyeru rakyat Sabah bersatu di sebalik seruan agar kerajaan persekutuan menghormati dan melaksanakan MA63.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles