KOTA KINABALU: Thames Oxford Academy komited untuk terus berperanan dalam memperkasakan komuniti melalui pendidikan, sambil memajukan bidang TVET, khususnya bagi penduduk luar bandar.
“Antaranya ialah golongan mudah terjejas seperti wanita muda, ibu tunggal, orang kurang upaya, serta belia lepasan sekolah di Borneo, termasuk Sabah, Sarawak, dan Labuan,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Thames Oxford Academy, Zainudin Kadir.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Program Bina Kerjaya Sektor Tidak Formal dan Kerjaya TVET di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Majlis ini disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
Majlis bersejarah ini meraikan kejayaan 1,150 graduan dalam seni solekan, dengan 750 daripada mereka berasal dari Sabah.
Thames Oxford Academy, merupakan sebuah pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan juga penyedia latihan yang berdaftar dengan PERKESO, Pembangunan Sumber Manusia Malaysia Berhad dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang terkemuka dalam pendidikan TVET.
Zainudin berkata, Program Bina Kerjaya Sektor Tidak Formal dan Kerjaya TVET ini adalah inisiatif Kerajaan Madani di bawah Belajawan 2023 yang bertujuan memperkasakan pasaran buruh bagi meningkatkan potensi individu yang sedang bekerja di bawah sektor tidak formal untuk memperoleh pekerjaan formal melalui pensijilan kompetensi dan micro-credentials.
Beliau memuji kerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan strategik khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Kementerian Luar Bandar Sabah dan Persatuan Wanita Tuaran yang telah menyokong pencapaian ini.
“Program Bina Kerjaya ini bukan sahaja memperkasakan individu melalui pendidikan TVET tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dan komuniti di Borneo,” katanya.
Beliau juga mengumumkan pembukaan cawangan pejabat baru di Kota Kinabalu pada awal tahun 2024, sebagai usaha untuk terus menyokong pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan di kawasan tersebut.
Antara kejayaan graduan yang boleh dibanggakan, terdapat yang telah membuka perniagaan sendiri, melancarkan produk kosmetik jenama sendiri, dan ramai juga yang kini menjadikan kerjaya juru solek sebagai punca pendapatan utama.
Walaupun tidak semua graduan dapat hadir, kehadiran 114 graduan di majlis ini sudah cukup untuk menunjukkan kejayaan dan semangat mereka.
Turut hadir ialah Dr. Mohd Ali bin Hindia, Pengarah PERKESO Negeri Sabah; Prof. Madya Dr. Wan Edura Wan Rashid, Pengarah Institute of Business Excellence, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Puan Siti Norain Abdullah, Pengarah Urusan Thames Oxford Academy.