Oleh Abd Jaafar Wahid
SANDAKAN: Ketua Umno bahagian Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta seluruh sayap UMNO agar memainkan peranan untuk menyuburkan parti melalui usaha-usaha yang dilakukan masing-masing.
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berharap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dapat menawarkan idea baharu yang kreatif termasuk penyelesaian kepada isu-isu utama kerana anak muda memerlukan pencerahan dan pendekatan yang sesuai dan lebih proaktif
“Kita perlu menawarkan idea baharu, solusi atau penyelesaian sebagai alternatif kepada isu-isu utama masyarakat yang berhadapan dengan berbagai masalah dan cabaran. Anggota sayap UMNO juga merupakan golongan muda yang lebih memahami keadaan hari ini dan memainkan peranan dengan memberi pencerahan kepada isu-isu yang membelenggu masyarakat.
“Kita perlu bersuara mengenai perkara-perkara semasa dan mesti proaktif, sentiasa mengemukakan pandangan, saranan serta jalan penyelesaian kepada perkara-perkara yang dihadapi oleh masyarakat dan juga negara. Hari ini persaingan adalah berasaskan kepada idea dan pemikiran yang lebih kritis dan kreatif,” katanya.
Bung Moktar berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Kinabatangan di dewan SJKC Chi Wah dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno bahagian Kinabatangan Datuk Jafry Arifin, Naib Ketua Umno bahagian Kinabatangan Datuk Aziz Pangiran Damsah,Ketua Wanita Aminah Johan,Ketua Pemuda Mohd Kurniawan Naim Bung dan Ketua Puteri NOrfianah Piddin Nani.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno peranan sayap utama parti Wanita,Pemuda dan Puteri begitu penting untuk mengatur strategi bagi menarik pengundi dan orang muda khususnya untuk berhadapan dengan Pilihanraya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang.
“Jumlah pengundi muda setiap bulan akan meningkat , golongan ini boleh mempengaruhi keputusan pilihanraya yang bakal diadakan,justeru pendekatan yang sesuai dan proaktif perlu dilakukan bagi mendekati golongan ini dimana peranan ini perlu dimainkan oleh pemuda sementara Wanita dan Puteri perlu bergerak bersama meneruskan segala program yang boleh meraih sokongan dari rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Bung yang juga Pengerusi BN Sabah mengingatkan jentera dan ahli Umno, PRN ke-17 akan datang merupakan peluang terbaik bagi Umno menyusun strategi untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri dari kerajaan yang ada pada hari ini yang gagal melaksanakan dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat terutamanya dari penyediaan insfrastruktur asas dan kemiskinan.
“ Kita ketepikan isu-isu yang remah temah sebaliknya kita fokas dan memikirkan masa depan yang lebih baik demi rakyat Sabah, janganlah kita terpengaruh dengan janji-janji manis parti lawan yang menawarkan jawatan wang ringgit yang akhirnya hanya tinggal janji semata-mata,” katanya.
Tambah Bung kawasan Kinabatangan mempunyai 3 kerusi DUN Sukau dan Lamag yang perlu dipertahankan sebagai kubu kuat Umno sementara Dun Kuamut perlu dirampas dari parti lawan.
“Kejayaan ini pasti akan kita capai jika jentera dan ahli parti di peringkat akar umbi bekerja dalam satu pasukan mengatur strategi dan pendekatan yang disenangi oleh rakyat untuk bersama-sama Umno/BN membina masa depan Sabah yang lebih gemilang” katanya.