Oleh Abd Jaafar Wahid
KUALA PENYU: Sebarang bentuk kerjasama untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Ke 17 (PRN17) , UMNO Sabah akan memeterai perjanjian sebelum berlangsungnya PRN.
Ketua Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata pengalaman masa lampu bergabung bersama parti lain selepas pilihan raya negeri memberikan pengajaran berguna kepada UMNO untuk lebih berhati-hati memilih parti gabungan kali ini.
“Kita sudah lalui perjanjian dibuat selepas PRN lepas untuk membentuk kerajaan negeri, bagaimana pun setelah kerajaan dibentuk, UMNO dibaratkan seperti parti “Melukut di tepi gantang” walaupun Umno memperolehi lebih banyak kerusi berbanding parti lain, justeru pengalaman ini perlu dijadikan pengajaran dan sebarang bentuk kerjasama bersama gabungan parti lain untuk menghadapi PRN perlu dibuat sebelum pilihanraya berlangsung,” katanya.
Bung berkatq demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Beaufort di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Rafi Alli Hassan, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak,
Datuk Yakub Khan,Datuk Siti Aminah Aching, Wakil Umno Sabah Haji Abdul Rahman Noh dan Ketua UMNO bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat.
Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengakui pada PRN akan datang tidak akan ada parti yang dominan boleh membentuk kerajaan tanpa sebarang gabungan kerjasama bersama parti-parti lain.
Sehubungan itu, beliau berkata UMNO Sabah akan lebih berhati-hari dan hanya menjalinkan kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian dimeteri,
“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.
“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang akan membantutkan usaha membangunkan Sabah,” katanya
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, siapa pun gandingan UMNO Sabah nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya akan datang.