KOTA MARUDU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mahu semua pemimpin dan ahli parti di bahagian Tandek bersatu hati untuk mempertahankan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.
“Kalau bersatu hati, Tandek pasti akan kekal menjadi milik PBS/GRS,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)PBS Bahagian N7 Tandek yang diadakan di Dewan Terbuka Tandek, di sini hari ini.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II turut mengingatkan bahawa semua pemimpin dan ahli PBS perlu memenangkan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) pada PRN tahun hadapan.
Selain katanya, mereka perlu terus mendokong ideologi parti yang sudah berusia 39 tahun itu kerana perjuangan PBS belum selesai.
“Perjuangan PBS adalah perjuangan untuk masa depan Sabah, PBS adalah lambang kesatuan,” tambahnya.
Selepas itu, pada sebelah petang, Dr. Joachim turut merasmikan PBS Bahagian N6 Bandau di Dewan Walai Bunsadan.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki; Bendahari, Datuk Lu Kim Yun; Ketua Bahagian PBS N7 Tandek, Datuk Hendrus Anding; Timbalan Ketua Bahagian PBS N6 Bandau, Julita Dalinsi; Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian serta Exco Pergerakan Wanita dan Pemuda.