KUALA KUBU BHARU – 6 Mei 2024: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkasakan penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi membantu kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup.
KUSKOP telah memperkenalkan inisiatif Jualan Madani Koperasi (JMK) bagi membantu meringankan beban masyarakat melalui program yang dilaksanakan di premis perniagaan koperasi serta kawasan-kawasan terbuka yang menjadi tumpuan masyarakat.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata sehingga Mei 2024, sebanyak 226 Coop Mart yang telah dibuka di seluruh Negeri Selangor melibatkan koperasi Sekolah, Pengguna, IPT dan Bukan Pengguna. Perolehan direkodkan bagi koperasi fungsi pengguna sehingga 31 Disember 2023 adalah sebanyak RM276,269,797.00.
Jumlah perolehan itu turut merangkumi perolehan dari koperasi yang melaksanakan akvititi stesen minyak.
“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukan insentif sebanyak RM20,000.00 bagi melaksanakan Jualan Madani Koperasi (JMK). SKM telah melantik Koperasi Keluarga Nadi Rizki Selangor Berhad sebagai operator jualan yang akan membawa pelbagai jenis barangan keperluan harian asas seperti gula, tepung, minyak, susu, telur dan pelbagai lagi bagi memberi peluang kepada anggota koperasi serta penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu mendapatkan barangan dengan kadar penjimatan sehingga 20% lebih murah daripada pasaran tempatan.” katanya semasa sesi walkabout pada hari ini.
Ewon juga mengadakan sesi walkabout dan ramah mesra bersama pengunjung yang hadir dan seterusnya mengadakan Jualan Happy Hour dengan menambah sebanyak 10% lagi diskaun menjadikan jumlah penjimatan yang dinikmati oleh pengguna berjumlah 30% selama 1 jam atau sehingga barangan yang dikhususkan untuk happy hour habis dijual. Melalui program jualan ini, dianggarkan seramai 1,000 orang pengunjung memperoleh manfaat daripada insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan.
Program Jualan MADANI Koperasi turut dilaksanakan di seluruh negeri dimana sehingga 3 Mei 2024 sebanyak 22 program Jualan MADANI Koperasi telah diadakan di 16 kawasan parlimen buat masa ini yang telah memberi manfaat kepada 119,963 pengguna terdiri dari kalangan anggota koperasi dan masyarakat setempat. Program ini juga telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM2,8712,405 melalui 87 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan. Secara keseluruhannya KUSKOP dan SKM telah memperuntukan insentif sebanyak RM682,212 kepada Koperasi bagi melaksanakan JMK kepada pengguna selaku penerima manfaat.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Encik Rusli bin Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, YB Datuk Haji Rizam bin Haji Ismail, EXCO Kemajuan Desa & Perpaduan Negeri Selangor, Zahir bin Dahari, Pengarah SKM Cawangan Negeri Selangor.