KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan bahawa ADUN pembangkang di Sabah menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan negeri seperti yang diwar-warkan di media sosial.
Beliau berkata peruntukan khas itu mungkin disalurkan melalui Pejabat Daerah tetapi yang pasti “ADUN pembangkang tidak menerima sebarang peruntukan untuk pembangunan di kawasan masing-masing.
“Gambaran yang dibuat di media sosial seolah-olah ADUN pembangkang dapat peruntukan itu tidak benar,” katanya.
Mohd Shafie yang bertindak sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata demikian selepas menghadiri persidangan dewan undangan negeri di sini hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dipetik sebagai berkata bahawa peruntukan tahunan khas Adun diagihkan secara adil kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di Sabah.
Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM188.2 juta bagi Adun Sabah tahun ini.
Kerajaan negeri tidak meminggirkan kawasan diwakili Adun pembangkang daripada menerima peruntukan khas itu.
“Jika ada keperluan, Adun pembangkang boleh secara langsung memohon kepada kerajaan, atau menerusi saya, kerana kami tiada masalah menerima dan mempertimbangkan permohonan sebegitu,” katanya.
Mohd Shafie turut membangkitkan isu ketirisan, terutamayang membabitkan Bank Pembangunan Sabah.
Beliau meminta kerajaan negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang tidak membayar hutang mereka, sekali gus memastikan ia dibayar balik dalam kadar masa yang munasabah.