Penduduk kampung digesa manfaatkan kemudahan awam – Jahid

TAMPARULI: Penduduk kampung digesa agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, apa sahaja kemudahan yang disediakan kerajaan di sesebuah kampung perlu dijaga dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat kampung.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai fasiliti awam bagi kegunaan rakyat, justeru, dalam rangka mencapai kemajuan bersama, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai penduduk untuk memastikan bahawa kemudahan-kemudahan tersebut digunakan secara optima, serta mengubah sikap menjadi lebih proaktif dalam memanfaatkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Kampung Rondogung, di sini baharu-baharu ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rondogung, Welson Lian, serta beberapa pemimpin masyarakat di sekitar kawasanTenghilan dan Tamparuli.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli, berkata, Dewan Muhibbah merupakan aset penting bagi masyarakat kampung.

“Dengan adanya dewan ini nanti masyarakat dapat mengadakan berbagai acara, termasuk mesyuarat, majlis, bahkan acara sukan seperti badminton, dan sebagainya, sekaligus memberi kesempatan penduduk berkumpul, saling berinteraksi, dan mempererat hubungan sosial mereka dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Selain menjadi platform bagi masyarakat untuk membahas pelbagai isu penting, mengambil keputusan bersama, merencanakan kegiatan masa depan demi kemajuan kampung, dewan ini juga menjadi simbol kesatuan dan kesejahteraan masyarakat dengan mencipta suasana yang lebih harmoni.

Selepas sesi menandatangani plak perasmian, turut diadakan acara cabutan bertuah, dan jamuan makan serta persembahan lagu sempena Hari Raya Aidilfitri sebagai pengisian program.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles