Apakah Ketua Menteri tidak sedar negeri ini berdepan krisis air kritikal?

Kenyataan Media Datuk Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah

Advertisements

KOTA KINABALU: Saya ingin merujuk kepada bidasan YAB Ketua Menteri terhadap teguran saya terkait dengan kemaslahatan rakyat berhadapan dengan masalah infrastruktur berhubung dengan masalah bekalan air dan elektrik serta jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.

Beliau secara mudah menafikan realiti sebenar masalah rakyat dengan berkata bahawa saya ini ketinggalan zaman dan hanya tahu khayalan diri sendiri.

Kalau saya ini dituduh sebagai ketinggalan zaman, barangkali YAB KM pada penggal ini jauh terpisah dengan derita rakyat sehingga tidak cakna dengan apa yang berlaku di negeri ini.

Apakah YAB KM tidak menyedari bahawa negeri ini sedang berhadapan dengan masalah krisis air yang kritikal sehingga penduduk negeri ini mengeluh tentang bekalan air yang sering terputus sehingga berhari-hari? Adakah rakyat juga ketinggalan zaman dan berkhayal?

Adakah YAB KM tidak mengetahui bahawa gangguan bekalan elektrik kita adalah yang tertinggi di negara ini iaitu kira-kira 300 minit untuk setiap pengguna saban tahun? Adakah rakyat juga ketinggalan zaman sehingga tidak mengetahui data-data ini dan hanya pasrah dengan gangguan bekalan elektrik yang berterusan?

Berkenaan Sabah Energy RoadMap yang diumumkan tahun lepas, jumlah pembangunan janaan tenaga masih tidak mencukupi untuk mengimbangi potensi pelaburan di negeri ini terutamanya yang berkaitan dengan industri pembuatan. Malah cadangan seperti Battery Energy Storage System (BESS) sebagai satu penyelesaian jangka pendek adalah tidak rasional kerana ianya memerlukan tenaga daripada solar atau angin. Maknanya, kita perlu membina sistem solar atau kincir angin terlebih dahulu untuk melaksanakan BESS ini. Bukankah itu seperti dua kali kerja?

Apakah YAB KM turut tidak menyedari tentang peningkatan peratusan kemiskinan negeri di bawah kepimpinannya walaupun gigih memasang billboard ‘SABAH MAJU JAYA’ di seluruh negeri?

Sebagai wakil rakyat, sudah tentulah saya berusaha mengangkat suara rakyat. Sebelum ini, semasa saya menjadi Timbalan Ketua Menteri, saya telah mendesak Kerajaan Persekutuan agar menjadikan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai sebuah Jabatan Teknikal Bertauliah.

Ini penting agar kadar pembangunan di negeri ini dapat dipercepatkan tanpa merujuk kelulusan jabatan teknikal persekutuan yang mempunyai banyak birokrasi. Kita tidak mahu apabila bajet pembangunan berbilion ringgit diumumkan setiap tahun, peruntukan tersebut tidak dapat digunakan kerana kelembapan dari segi perancangan dan kelulusan jabatan.

Apakah saya ini ketinggalan zaman dan berkhayal dalam khayalan sendiri?

YAB KM telah mengumumkan banyak pelaburan di negeri ini kononnya dapat mencipta puluhan ribu pekerjaan kepada rakyat dan memangkin pembangunan di negeri ini? Saya ingin bertanya, apakah kemajuan yang telah dicapai bagi projek-projek seperti berikut:-

i. Tanjung Aru Eco Development Project,
ii. Empangan Papar,
iii. KK Resort City,
iv. Lokawi Resort City,
v. Dan lain-lain.

Saya ingin bertanya kepada YAB KM, apakah langkah-langkah proaktif yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan kemiskinan, khususnya yang berkaitan dengan wajaran di dalam pengiraan indeks kemiskinan pelbagai dimensi yang terkait dengan indikator-indikator seperti akses rakyat kepada pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, kemudahan asas yang berkualiti, dan peningkatan pendapatan rakyat?

Indikator-indikator tersebut adalah sangat penting untuk memastikan derita rakyat dapat dikurangkan dengan drastik dan secara sistematik mengurangkan peratusan kemiskinan di negeri ini.

Nasihat saya buat YAB KM agar sedarlah bahawa dengan membina deretan billboard ‘SABAH MAJU JAYA’ di seluruh negeri tidak akan dapat mengubah kehidupan rakyat.

Akhir kalam buat YAB KM, selamat berpuasa dan maaf zahir dan batin sebagai saudara seumat.

Sekali Berjuang Terus Berjuang,

Related Articles

253FansLike

Latest Articles