TAWAU: Program ‘Jelajah Ramadan AADK Sabah Ke Ladang’ dilaksanakan dengan hasrat menyampaikan mesej ‘Lebih Baik Cegah’ kepada wargakerja di ladang terpilih supaya mereka lebih cakna dengan kemudaratan yang diakibatkan oleh penyalahgunaan dadah.
Pada masa yang sama, program tersebut turut bermatlamat untuk mendekatkan AADK Sabah dengan masyarakat supaya stigma terhadap agensi penguatkuasaan tersebut boleh diperbetulkan.
“Penguatkuasaan oleh pihak AADK bukanlah bertujuan menghukum tetapi ia lebih bermatlamatkan kepada rawatan dan pemulihan.
“Dalam hal ini, usaha pencegahan perlu dilipatgandakan supaya statistik penagihan dadah dapat dikurangkan dan wargakerja di kawasan ladang boleh menerima maklumat yang tepat berkenaan gejala penagihan dadah,” kata
Dayang Siti Rohani Binti Sedan, Penolong Pengarah (Pencegahan) AADK Sabah.
Beliau berkata demikian selepas sesi ‘Walking Message’ dan ‘Omni Presence’ di dua buah ladang milik Sabah Softwood Berhad (SSB) iaitu Ladang Cenderamata dan Ladang Dumpas semalam.
Turut dipromosikan dalam program tersebut ialah ‘Kempen 1 Juta Ahli Skuad Antidadah’ di mana Ketua Perladangan Sawit SSB, Muzaffah Hassan menjadi individu pertama di SSB membuat pendaftaran.
“Skuad Antidadah adalah satu entiti kesukarelaan yang berfungsi memberikan kesedaran tentang bahaya dadah, membantu mereka yang berhadapan dengan masalah dadah dan menjadi ejen penyalur maklumat serta perkhidmatan AADK.
“Untuk itu, ‘Kempen 1 Juta Ahli Skuad Antidadah’ ini akan diteruskan sehingga akhir Jun 2024”, tambah Dayang Siti Rohani.
Sementara itu, Muzaffah Hassan, Ketua Perladangan Sawit SSB turut menyatakan komitmen syarikat berkenaan untuk menyokong semua inisiatif yang dibuat oleh pihak AADK.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang masalah berkaitan dadah kerana selain undang-undang negara yang sedang berkuatkuasa, peraturan syarikat juga telah menetapkan untuk tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah”.
Turut dilaksanakan di dalam program ‘Jelajah Ramadhan AADK Sabah Ke Ladang’ kali ini ialah taklimat kesedaran serta pencegahan dadah di Dewan Ladang Cenderamata selain tazkirah dan majlis berbuka puasa di Masjid Al-Abrar, Ladang Dumpas.