Warga ESSCOM diseru ganding bahu jadikan ESS ZONE destinasi sejahtera untuk dikunjungi

LAHAD DATU: Selepas 11 tahun Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) diwujudkan, Komander DCP Datuk Victor B Sanjos menyeru seluruh warga ESSCOM terus berganding bahu dan memastikan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) bukan sahaja menjadi destinasi yang selamat tetapi sejahtera untuk dikunjungi oleh semua dan menikmati hasil pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Advertisements

Ketika menyampaikan amanat sempena Hari Ulang Tahun Ke-11 (HUT11) ESSCOM di sini hari ini, beliau mengharapkan agar komitmen dan kerjasama padu seluruh warga ESSCOM, pasukan keselamatan, Jabatan/ agensi di ESS Zone terus diperkukuh supaya kedaulatan negara kekal terpelihara dan ketenteraman awam terus terjamin.

Mengimbas kembali penubuhan ESSCOM lebih sedekat yang lalu susulan insiden pencerobohan Tanduo, Victor menyatakan bahawa ia adalah keputusan berat dan kritikal yang diambil ketika itu.

“Ternyata, keputusan tersebut adalah tepat dan membawa kesan yang terbaik untuk hari ini khususnya dari aspek politik, ekonomi, sosial dan juga melakar sejarah penubuhan ESSCOM itu sendiri,” tambahnya lagi.

Justeru, Victor menekankan agar seluruh warga ESSCOM untuk terus komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh profesional dan berintegriti bagi memastikan ESS Zone kekal aman, tenteram, makmur dan berdaulat, seterusnya mengekalkan rekod sifar penculikan sejak 15 Januari 2020 hingga kini.

“Suka saya tekankan di sini bahawa ESSCOM sangat komited untuk mengangkat semula imej ESS Zone sebagai Zon Sejahtera dan telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan untuk mengubah warna peta ESS Zone daripada merah kepada putih sebagai simbolik kesejahteraan ESS Zone,” tambah beliau lagi.

Malah, kesudian KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berserta rombongan anakanda yang sudi bercemar duli ke ESSCOM dan daerah ESS Zone bersempena dengan Kembara Kenali Borneo di Negeri Sabah tahun 2023 juga amat signifikan dengan keadaan keselamatan di ESS Zone masa kini.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan aluan, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, YBhg. Datuk Dr. Jamaluddin bin Mohd. Ali turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga ESSCOM kerana seiring dengan kematangan usia yang memasuki dekad kedua, bahagian keselamatan dan awam ESSCOM telah bersama-sama menjadikan ESSCOM sebuah agensi yang unggul.

Pada majlis yang sama, Datuk Victor dan Datuk Jamaluddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik ESSCOM di ESS Zone antaranya Pejabat Daerah, Hospital Daerah, Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Markas 13 Briged Infrantri Malaysia, Ibu Pejabat Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Daerah, Pasukan Polis Marin, Batalion 17 PGA, Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holding Berhad, RELA, Jabatan Pendaftaran di Daerah Lahad Datu.

Hadir sama Pegawai Daerah Lahad Datu, Tuan Firuz Idzualdeen @ Benetty bin Mohd. Dzul; Pengarah Hospital Lahad Datu, YBhg. Dr. Andi Md Shamsureezal bin Dato’ Mohd Sainal; serta Pegawai-pegawai Kanan ESSCOM; Ketua-Ketua Jabatan/ Agensi Persekutuan dan Negeri Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles