KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited mengangkat semula imej Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.
Komander ESSCOM DCP Datuk Victor B Sanjos, menzahirkan komitmen tersebut semasa berucap merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM Bersama Komuniti ESS Zone Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag dekat sini baru-baru ini.
“ESSCOM telah mengangkat cadangan kepada Kerajaan untuk menukar peta ESS Zone yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih dan menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua.
“Selain itu, di pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone,” tambahnya lagi.
Kira-kira 300 orang warga daerah Kinabatangan hadir menjayakan sesi libat urus tersebut.
Tujuan libat urus itu bertujuan meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah, menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut, mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah tersebut secara menyeluruh atau hybrid. Seterusnya, kajian ini akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan tersebut sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya.
Sehubungan itu, Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus itu supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS Zone Sabah sebaik mungkin agar kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan sahaja negeri Sabah tetapi Malaysia amnya