KOTA KINABALU: Pemberian subsidi tiket penerbangan akan memberi manfaat kepada sekitar 18,000 pelajar yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Pemberian subsidi RM600 ini akan membantu para pelajar pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tersayang menjelang Aidilfitri.
“Saya menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah berkaitan subsidi tiket penerbangan yang berjumlah RM10 juta untuk semua pelajar Sabah terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM67.4 juta untuk Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun ini bagi membantu anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara.
Menurutnya, jumlah peruntukan ini meningkat sebanyak RM13.6 berbanding peruntukan tahun lepas.
“Pengumuman penting ini membuktikan kerajaan GRS PH Plus di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor serius dalam membantu dan meningkatkan pendidikan anak-anak Sabah.
“Hasrat Kerajaan Sabah selaras dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ialah untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, semoga dengan usaha-usaha yang diambil Kerajaan Negeri akan meningkatkan semangat anak-anak Sabah untuk terus mengejar dan mencapai impian mereka.